Archive for August, 2010

“Sesungguhnya..”

Posted in Uncategorized on August 29, 2010 by burgerdua

Mimpi terus digogok dengan wajah dan sifat zalimnya, entah kenapa masih terbayang dalam episod patah hati diragut semula. Kuat mesti kuat kerana ini adalah sesuatu kenyataan yang selama ini amat mengecewakan selama bertahun-tahunnya. ZALIM! Namun sudah aku berjanji untuk menutup parut luka itu agar tidak terkoyak lagi, mungkin jahitannya perlu ditebalkan dan diperkemaskan. Mungkin masalah jahitannya itu tidak serupa dengan percakapan yang aku lemparkan. Mulut cakap lain hati cakap lain.

Ramadhan ini yang ketiganya aku berasa biasa dalam persetubuhan dengan diri sendiri – memeluk tubuh, ngilunya hati apabila didakap kemas. Rasa ini perlu diperbetulkan agar tua esok lusa tidak aku pernah bertanya, “apa yang aku lakukan ketika muda selain patah hati”, namun inilah hakikat dan persoalan yang bermain-main dalam setiap pancaindera yang masih kukuh menjalankan tugasan. Mudah-mudahan episod lalu tidak perlu diulang.

Sesungguhnya,
Ketiganya Ramadhan aku susuri,
Dengan rasa – seperti mati sebentar nanti,
Sudah tiada apa yang perlu dikagumi,
Melainkan Dia – Ilahi.

Kasih,
Ramadhan lalu dan kini,
Kau muncul lagi dengan kekacauan,
Jangan pernah berjanji,
Kerana kau umpama syaitan,
Datang buatkan aku mengkhayali,
Dengan setiap patah perkataan.

Ini adalah arus, tidak kira apa sekalipun dan ini adalah arus penghidupan dalam kemanisan serta kepahitan. Jelas aku katakan kau bukan tukang tilik dan kau bukan sejarah yang terbaik yang pernah hadir. Kerana kau umpama tikus yang berani ketika gelap lari ketika cerah. Pengecut! Sudahlah, balik kepada penghidupan yang kau banggakan jangan sekali lihat manusia yang kau anggap lalat ini. Mulai hari ini, aku bercakap bila ditanya, memakai bila mampu dan berkawan bila perlu.

Mengingati kau sesungguhnya jauh sekali. Semoga berbahagia.

Advertisements

“perbuatan yang mengharukan”

Posted in Uncategorized on August 22, 2010 by burgerdua

Semalam Sabtu, 21 Ogos 2010, saya berada disekitar Kuala Lumpur untuk menyempurnakan satu watak dalam sebuah Short Film terbitan Kita Production dan diarahkan oleh Sutradara Hadi Pahmi. Untuk sedikit pengetahuan buat semua pembaca blog, ini serba sedikit mengenai karya-karya dalam Kita Production. Jadi saksikanlah.

Sebenarnya impian saya serba sedikit sudah tercapai dalam masa terdekat ini, pertama kalinya terima kasih kepada Izham Ismail kerana memperkenalkan saya kepada Hanis Zalikha melalui ‘IVS’ atau Ini Vidiyo Saya. Justeru memperkenalkan saya kepada rakannya iaitu Hadi Pahmi untuk terus berkarya dalam Short Film terbarunya. Terharu dan terus terharu itu adalah saya kepada orang yang melihat saya dalam kacamata mereka. Kepada kawan-kawan di page, Aziz Hazmi Pages anda sentiasa supportive dan best! Sumpah!

Buat pertama kalinya, melihat kanak-kanak cilik meminta tandatangan dan ingin bergambar bersama. Ini adalah saat-saat yang sungguh mengharukan. Bila dilihat kembali gambar-gambar candid yang diambil, membuatkan saya berfikir kepada sebuah penghargaan yang tiada batasan. Pengalaman yang sedang dilalui kini adalah yang terbaik. Kepada yang berada dibelakang saya, anda tidak pernah saya lupakan. Saya adalah semut kecil dalam dunia ini. Saya berbicara seolah-olah popular, maaflah saya tidak ke situ tetapi saya menghargai orang lain dalam persepsi dan pandangan saya sendiri. Jika ada yang berasa sedemikian, terpulanglah. Saya tidak pernah terfikir untuk begitu. Apa-apa pun, terima kasih dunia dan akhirat.

Terima kasih.
Kepada pembaca blog burgerdua dan kawan-kawan Aziz Hazmi Pages.

“philos-sophia bicara chinta”

Posted in Uncategorized on August 18, 2010 by burgerdua

Tanpa kau sedari, rasa itu telah mengilhami deria cinta aku pada kau. Ternyata.

Embun pagi melitupi kepala ini,
Di perjalanan untuk ke mari,
Mengejar cita – cita dalam sepi,
Kerana aku tak mudah mengakui,
Mengakui aku punyai hati,
Namun senandung ini tersembunyi,
Dalam nyanyian hati nurani,
Untuk siapa harus aku beri,
Secebis cinta kurniaan Ilahi,
Semoga rasa aku pada kau terpatri.

'SB' - bukan orang sebenar. πŸ™‚

Hendak berkata-kata namun kelu, kelu di setiap pandangannya. Mata itu penuh keberanian namun aku gentar dalam perjalanan. Indah ciptaan Ilahi, indah. Memandangnya dalam rasa terketar-ketar kaki ini melangkah, berdegup-degup jantung ini mahu pecah dan tercuri-curi melihatnya seperti aku bersalah. Namun, hanya semata-mata untuk sebuah pandangan tanpa sepatah kata. Adakala terpana dan termimpi disiang hari dengan angan-angan Jenin dek kerana sukanya, rindunya, mungkin cintanya juga. Aku mengharap.

Tidaklah aku harapkan cinta yang mengalirkan airmata, sekali lagi dalam nafas baru ini ketika ia sedang sembuh semula. Sakit pada waktu lampau itu meninggalkan kesan dan perlu berakhir disini. Cukuplah. Dalam doa tulus, semoga Tuhan itu ada jalannya yang terbaik sekiranya sudah tertulis bagaimana sekalipun. Melupakan yang lepas itu harus, melupakan saat memandang yang asyik itu jangan. Kerana hati aku yang baru tidak mahu melupakan kau.

Dalam tulisan pena maya, aku berdansa tentang rasa. Sekali lagi. Namun aku tak berkuasa untuk berada dekat dengan kau dan tidak bisa sembunyi rasa itu selamanya. Ini tentang rasa aku pada kau. Kerana kau, aku berfalsafah membicarakan cinta terpendam ini.

Bila hadirnya malam dan itu adalah kau. Sentiasa.

Ternyata liriknya pendek namun amat bermakna dan dalam.

“desakan usia”

Posted in Uncategorized on August 10, 2010 by burgerdua

Hadapi hidup ini dengan sebuah senyuman dan apa yang telah terjadi itu tetap akan terjadi walau apa pun. Biarlah berlaku goncangan dalam dunia fana ini, sekalipun tidak akan pernah mematahkan semangat juang untuk terus menerus berjalan sehingga waktu goncangan sebenar belaku. Apabila kiamat itu tiba. Relakanlah sesebuah pemergian dalam kehidupan itu dengan keredhaan dan ketenangan, sebagai syarat sebelum dihisab menghadapi Tuhan semula nanti.

Telah aku lihat kematian didepan mata aku. Hari ini dan semalam.

Jangan nilaikan apa yang kau dan aku lihat itu, tetapi nilaikan apa yang kau tidak tahu dalam lubuk sanubari seseorang itu. Dalam renungan dan pandangan adalah perbuatan yang nyata berbeza. Apa yang kau lihat itu adalah sekilas pandangan dalam kehidupan dan apa yang kau renungkan itu adalah kebenaran. Namun nyata sia – sia, apabila pandangan dan renungan itu kau samakan pada pandangan majazi ini. Entah apa sebabnya masa itu mendesak untuk berkejar terus ke hadapan. Ada apa yang dikejarkannya sedemikian?

Manusia yang aku kenali telah mengikut turutan untuk β€œpergi” menghadapi fasa pertama.

Ketika ayah dan ibu jatuh tersungkur mencium bumi, sekurang – kurangnya akan ada aku dan kau untuk uruskan soal jenazahnya. Namun suatu hari nanti, siapa yang akan uruskan jenazah kita berdua? Nota ini jelas tersisip rapi dalam ingatan, mudah – mudahan Tuhan kurniakan keberkatan hidup dengan kurniakan cahaya mata yang soleh. Amin. Malangnya masa itu sebenarnya saling bekerjaran dengan matahari untuk menyedarkan manusia – manusia seperti kita sudah ketinggalan dan berada dalam kerugian yang teramat. Allahu Akhbar.

Ini adalah kemanisan dalam berdoa. Berdoalah.

Dalam desakan ini telah membuka mata aku tentang – tentang. Tentang – tentang ini adalah makna yang bersembunyi , mengenai apa dan apa disembalik simbolik kata – kata yang seperti kata yang penuh persoalan. Bermunajatlah pada Tuhan agar diperdengarkan jawapannya. Jadikan aku umat yang tidak alpa apabila aku melihat ; Kematian, Kelahiran, Kekayaan, Kemiskinan, Keangkuhan, Keinsafan. Kerana aku terdesak dan semakin terdesak kerana desakan usia kini mengejar pantas. Mungkin esok hari akan diteriakkan roh keluar daripada badan, seperti kepul – kepul asap yang keluar daripada mulut dan hidung aku.

Untuk beberapa bulan ini, kesimpulannya telah aku melihat kematian orang – orang disekeliling, telah aku melihat anak gadis sudah menjadi tunangan dan sama seperti anak teruna, kemudian ke gerbang perkahwinan. Perubahan fasa pertama remaja lelaki dan wanita selepas tamat alam persekolahan, mengenai pergaulan, cinta pantas (monyet) dan kebebasan.Keinginan untuk butuh ilmu walaupun sudah berusia panjang. Inilah adalah kerana desakan usia. Percayalah usia dan masa itu sama.

P.S. Al – Fatihah buat kawan saya Mira Yahya, yang kehilangan bondanya hari ini. Serta Murahabah, junior saya di sekolah dulu yang juga menemui pencipta.