Archive for July, 2010

“100”

Posted in Uncategorized on July 25, 2010 by burgerdua

Ada baiknya sesuatu usaha sudah berada dalam perjalanan hidup ini dan bakal menghampiri perjalanan Tuhan. Sikit lagi kerana mati itu tidak diketahui bila lagi namun pasti.

HIDUP

Telah di angkat kehidupan itu menjadi sesuatu lambang kejayaan dan secara peribadinya, aku hampir menangis dek kerana kejayaan sendiri. Sekurang – kurangnya usaha itu masih berbaloi dan dihargai oleh setiap orang yang memandangnya persis kelahiran baru dalam suasana yang dicari – cari. Inilah kehidupan akan adanya cahaya memancar, oleh itu mohon bersabar kerana ini adalah kemahuan Tuhan. Baiklah.

Dalam hidup ini adakalanya kita semua hampir tidak bermaya kerana tewas mengejar cita – cita, lalu terpesong dan buntu fikiran untuk mencari jalan yang sepatutnya untuk bersama – sama dalam laluan yang diredhai serta diingini. Bernafas, separuh nafas aku hampir kehilangan oksigen disebabkan dugaan yang datang dan datang sebelum mengecapi fasa pertama untuk memijak kejayaan. Syukur sudah dilepasi. Walaupun aku seorang bekas graduan kejayaan itu masih tidak cukup. Tidak.

KOLABORASI

Datangnya dugaan kita lepasi dengan kesabaran dan keimanan. Senyum itu umpama kepuasan namun selagi tidak menjejak kaki ke syurga, aku tidak boleh mudah berasa puas dengan apa yang aku senyumkan cukup sekadar cukup. Kita pasti terluka, karma itu pasti ada kerana kita masih memijak bumi Tuhan. Masih berpeluang untuk taubat nasuha dan sejenak fikirkanlah bagaimana yang berada tujuh kaki di bawah yang sedang ditanyakan malaikat. Oleh itu kita seharusnya berkolaborasi dengan kehidupan – kehidupan yang lain untuk mengerti tujuan kita hidup. Tetapi jangan sesekali salahkan hidup dengan apa yang terjadi.

SAYANG

Menyayangi seseorang umpama satu bebanan kerana kita yang menjaga tata tertib sebagai seorang lelaki, namun layakkah digelar sebagai bebanan? Kehidupan lelaki sebagai khalifah muka bumi disebabkan itu adalah tanggungjawab dan bukan bebanan. Suatu ketika dulu, aku seperti tidak mahu menerima kenyataan bahawasanya aku sudah ditinggalkan kekasih, meronta – ronta dalam diam namun aku pasrah ini adalah sebahagian dalam kehidupan. Kegilaan itu aku tanggung keseorangan.

Hakikatnya aku tersedar dan lantas bangkit meneruskan hidup dengan luka yang tampaknya beransur baik walaupun perih. Aku masih ada ibu untuk dicintai, abang untuk dicontohi dan kakak – kakak untuk dihormati. Aku masih boleh melihat mereka. Masih boleh bersyukur dengan ini. Kekasih hati itu, nantilah kerana belum ada. Seakan – akan itu hampir tiba, nantilah.

100

Ini umpama satu pautan dari dimensi ke dimensi yang lain, justeru ia masih diteruskan hingga ia mampu untuk bertahan kerana aku penulisnya dan pencoraknya. Apa yang aku maksudkan dimensi ke dimensi lain adalah dimensi yang bermain – main dalam hidup ini dan lebih kepada persoalan pada diri sendiri. Bertujuan untuk memajukan diri sendiri.

Mungkin angka ini umpama kebetulan namun ianya ternyata kebetulan seperti dirancang. Bukan aku yang merancangnya tetapi kehidupan ini. Awas, kerana aku tidak menggogok kehidupan ini kerana aku tidak tahu susur galur perancangannya. Ianya kehendak Yang Maha Esa. Tunduk syukur. Aku akan menyusuri jalan ini lagi dalam perspektif baru.

Jangan bersedih lagi. Aku tidak.

Namun ini seribu satu makna.

 

“tangisan si bidadari”

Posted in Uncategorized on July 13, 2010 by burgerdua

Ini adalah sebuah dedikasi kepadanya tanda kemaafan yang dipinta.

Pada suatu hari bidadari ini sudah terluka kerana sebuah permintaan. Apa pun manusia itu tidak sengaja dalam niatnya. Sungguh. Walaubagaimanapun sudah terlambat ;

Ribuan bintang di syurga sudah malap cahayanya,
Dek kerana bidadari syurga itu terluka,
Disebabkan hanya permintaan seorang manusia,
Untuk dipenuhi dalam rasa tidak selesa kerana kenangannya.

Tirai malam telah menggamit kembali kenangannya kerana sebuah soalan yang sudah membuatkan hatinya sayu dan keliru. Namun ketetapan hatinya telah membantu untuknya membuat keputusan ;

Saat bila bersama itulah cinta,
Ketika bersendirian seperti tidak punyai apa-apa,
Hanya kenangan itu yang tinggal untuk dirasa,
Maafkan kerana kenangan itu masih turut serta,
Dalam hati dan juga masa.

Jika masa itu diputarkan, manusia itu akan diamkan rasanya dan mahunya. Apalah daya, masa sudah berlalu pergi. Sebagai tanda memohon maaf, manusia itu menebus dengan kemaafan dan mengembalikan rasa bidadari itu kembali normal tanpa deraian.

Inilah takdir yang tertulis dalam hidup,
Biarlah baik mahupun buruk,
Seperti cahaya ada panas dan redup,
Rasa itu keluar dan masuk,
Namun itulah hidup dalam nyata,
Yakinlah ini hanya ujian,
Walaupun takkan ada cinta,
Hapuslah dan hilangkan deraian,
Kerana Tuhan itu ada,
Dalam setiap kejadian.

Maafkan si manusia wahai bidadari, kerana lupa dan segalanya. Tentang kamu dan tentang semuanya.

“biasa”

Posted in Uncategorized on July 9, 2010 by burgerdua

Mentah

Evolusi masyarakat manusia ditentukan oleh baka dimana tamadun akan berkembang maju atau runtuh mengikut penentuan baka. Apabila sesuatu golongan pemerintah berkuasa, mereka akan cuba mengekalkan kuasa mereka melalui pembiakan seketurunan tanpa membenarkan kemasukan baka-baka lain ke dalam keturunan mereka. Bagaimanapun amalan begini, telah mempercepatkan kejatuhan pemerintahan seperti Firaun, Ptolemy dan Caesar. Ini adalah contoh manusia luar biasa namun telah jatuh pemerintahannya.

Meskipun begitu, orang Melayu sendiri mengakui bahawa ciri-ciri tertentu ada dalam diri seseorang itu diturunkan dari ibu bapa kepada anak-anak mereka. Ini dapat dilihat sendiri dalam peribahasa Melayu yang berbunyi, “Bapa borek anak rintik”. Maksudnya memang nyata. Kalau begitulah keadaannya bagi seseorang individu, maka tentunya pengaruh keturunan juga memainkan peranannya dalam perkembangan kelompok individu dalam sesuatu kaum. Kata – kata ini membuatkan kita selama – lamanya mundur dan menjadi biasa dipandangan dunia.

Di mana silapnya? Berdasarkan kepada pengalaman yang sudah – sudah, memanglah mudah untuk mencari kesilapan dan kecacatan masa lalu. Namun demikian, elok juga difikirkan kembali dan menganalisa, atau menentukan kesalahan – kesalahan itu sekiranya pengalaman yang lalu hendak dijadikan tauladan untuk menghadapi masa hadapan. Tujuannya bukanlah untuk membalas dendam, tetapi ini adalah satu tanggungjawab sosial untuk mencari di mana silapnya ketika bakal menghampiri puncak dunia.

Mungkin mudah jari jemari ini untuk menaip keletuk – keletak papan kekunci tapi adakalanya menulis tidak seharusnya mengikut hati semata – mata. Kerana ada beribu pasang mata sedang melihat kata – kata ini untuk menjadi pedoman dan iktibar kelak. Adakalanya perasaan ini telah menewaskan aku dan adakalanya ia ditewaskan dengan hal – hal sebegini.

Entri ini mahu memperjelaskan bahawasanya kita adalah rakyat dan kita umpama nadi kepada negara. Sebagai manusia biasa yang baru mengenal erti cinta, mengenal dunia, rasanya tinggalan sejarah itu sudahpun menggamitkan suatu perasaan pilu untuk kita duduk bersenang lenang kini. Lebih baik kita fokus apa-apa matlamatnya dahulu. Aku menulis kerana aku alpa mengejar cita – cita, mengejar wanita, walhal aku mundur dan masih. Tidak kira hanya manusia biasa, sekurang – kurangnya ada benda yang harus aku catatkan disini.

Suatu ketika ada semangat patriotiknya.

P.S Namun apa pun, segalanya berpandukan gerak hati.

“disendu subuh aku terkedu”

Posted in Uncategorized on July 1, 2010 by burgerdua

Sebelum seruan subuh menusuk ke sebelah kiri dan kanan telinga kurniaan Tuhan ini, masih lagi mampu aku mendengar. Alhamdulillah. Cuma perasaan ini tertindas disebabkan oleh keinginan yang telah lama dipadamkan dalam memori silam namun kilauan itu masih kelihatan ada sinarnya. “Ya Tuhan, selain hidup tunduk sujud lima waktu dan patuh pada ajaran yang tertera di kalimah suci-Mu, selebihnya masa terbiar itu apa guna pada aku?” – Monologku

Itu yang ditanyakan aku pada diri sendiri. Mungkin selebihnya aku hanya manusia yang punyai kekurangan dan tidak mampu untuk adakan itu dan ini dalam lebihan masa itu. Aku rindu ketika aku kecil, pulang ke rumah menyapa mama dan papa. Ketika aku menyimpan duit belanja lebihan sekolah untuk membeli permainan dan apa sahaja mahu aku. Kini aku rindu papa, lawati pusaranya tiap-tiap penghulu hari (Jumaat) dan di sedekahkan bacaan Yaasin dan Al – Fatihah serta doa bekalan buatnya namun aku seperti manusia lain. Manusia yang menghargai selepas ianya hilang didepan mata. Aku kecewa.

Sepantas deruan angin subuh ini mendayu – dayu dan memanggil untuk aku turut serta terbang entah ke mana. Jika ada tujuannya, aku turut serta tetapi bagaimana pula dengan kehidupan yang aku alami kini? Harus ditinggalkan mama dan keluarga? Itu melarikan diri supaya tidak menghadapi kenyataan. Justeru, saki – baki hidup ini berterusan begini? Aku kecewa lagi dan lagi. Aku rindu pujaan hati, bertahun – tahun tidak mampu aku ucapkan madah cinta padanya walaupun sekali, “Aku cintakan kau, aku sukakan kau, i love you”, tidak pernah sekalipun pada pujaan hati yang ada cuma tinggal senyuman dan pandangan darinya yang aku masih terbayang.

;/

Kini ditatap gambarnya berulang – ulang kali, masih ada manis senyumannya, sopannya dan kemanisannya. Apalah daya ini perutusan takdir dalam kamus Qada’ dan Qadar. Usaha itu tetap diusahakan kerana Tuhan memandang manusia yang berusaha memperbaiki hidupnya. Biarlah mengenai apa – apa sekalipun, dunia ini milik-Nya dan sebagai hamba aku redha dalam gogokan rasa rendah diri. Tuhan itu bukan menunjuk – nunjuk mahupun menyombong tetapi memohon supaya manusia berusaha dan tidak alpa setelah mengecapinya.

Semoga aku manusia yang tidak angkuh kerana disendu subuh telah aku terkedu sendirian. Amin.

Pernah lagu ini menjadi nyanyian aku dan pujaan.