Archive for June, 2010

“menyimpan rahsia itu perutusan hati?”

Posted in Uncategorized on June 30, 2010 by burgerdua

Perlukah didiamkan?

Dijamah makanan, sedikit demi sedikit kerana tidak lalu oleh disebabkan menjaga hati orang lain yang memberi makan melalui air tangannya. Entah apa yang dicelarukan dalam pemikiran dan hati ini ragu – ragu untuk menyuarakan rasa perih kepada semua. Mungkin ada baiknya menyimpan namun adakalanya tidak kerana sepatutnya dikongsi sebaik – baiknya pada seseorang yang kita percaya. Seharusnya ada teman yang memahami.

Luahan nampak mudah apabila dituturkan, akan tetapi cubalah tuturkan apabila hati kau yang mengalami rasanya dan suarakan lancar seperti kau menyuruh seseorang meluahkan. Ini adalah situasi bukan inspirasi dan tidak pernah akan basi buat beberapa ketika. Tidak ada sebab, tidak ada orang untuk disalahkan cuma ada rasa untuk berterus terang mahupun mendiamkan seolah – olah ianya adalah rahsia kau seorang. Adakalanya rahsia itu perlu namun luahan untuk meluahkan rahsia itu seumpama mulut yang dijahit cuba dibuka dengan paksa.

“Aku bukan lagi siapa-siapa. Berhenti mencari aku. Berhenti memerlukan aku”.
Apa rahsianya? Apa perihnya? Apa maksudnya? Adakah itu kemahuannya?

Ketika ini Tuhan itu dalam kepala sebelum menghujam rahsia dan rasa yang terbuku itu pada semua, apa yang pasti rasa itu perih seketika. Mencari kepuasan buat diri sendiri membuatkan rasa – rasa dalam tubuh itu bergetar dalam menerobos keterujaan manusia yang menganggap diri mereka sempurna. Inilah hakikat dunia fana yang bukannya ketetapan untuk dibongkar rahsia dengan sengaja walaupun ianya kerelaan hati.

Namun sebelum itu jantung terhenti lantas berdegup kencang dan sel – sel darah merah mendadak tinggi. Kau katakan pada mereka, apa yang mahu mereka dengari dan katakan rahsia kau bukan dapat mengubah rasa yang kau rasa seumpama meluahkan. Hakikatnya kau puas dapat melepaskan bebanan dan pastinya akan ada rahsia lain nanti. Pasti. Benarkah rahsia itu kemahuan hati atau sekadar membuatkan kau berkecamuk untuk kekal menyimpannya? Sesetengah manusia tidak merasakan begitu.

Advertisements

“hanya manusia disimpang laluan”

Posted in Uncategorized on June 24, 2010 by burgerdua

Hidup berkali – kali dituturkan, dibicarakan dan dikhabarkan mati – matian mengundang kepada rasa tidak percaya namun hanya buat pertama kali ianya dinyatakan sekiranya ditanya. Hidup tidak mengundang problema secara sendirinya tetapi di undang oleh manusia – manusia lain atau mereka sendiri. Kadang – kadang ia di undang oleh manusia berhati busuk pada manusia lain yang tidak punya daya dan dosa padanya. Kerana mahukan propaganda dalam lipatan dunia fana, manusia lain menjadi mangsa. Apa mahunya?

Aku hanya manusia biasa serta dilahirkan sempurna namun punyai sikap malas, rajin dan tidak tentu mengikut mood. Justeru aku manusia normal yang hidup dalam golongan seperti manusia lain, akan tetapi hidup tidak dapat dituruti dalam laluan lurus akibat menyimpang ke kiri dan  ke kanan. Usaha untuk menuju ke laluan lurus itu sering kali digagalkan oleh simpang – simpang ini. Entah, aku tidak berapa pasti untuk aku terus menyusuri. Lalu aku berhenti akibat takut dicerca dan dikalahkan oleh lahanat di jalanan yang berada di simpang berkenaan.

Apa yang mahu dibenci dan apa mahu dicemburukan? Hidup aku kurniaan Tuhan begitu juga dengan hidup kau. Agama aku adalah agama kau dan apa beza kau aku? Tidak ada beza, umpama cubit peha kiri dan peha kanan terasa. Walaupun tiada pertalian di antara kita namun kita memegang amanat sebagai umat Muhammad dan saudara Islam. Mungkin hari ini lebih cerah buat aku dan mungkin kemudian hari begitu juga buat kau. Buangkanlah mulut busuk dan sifat busuk berbaur hasutan, kerana aku tidak punyai apa – apa selain bernasib baik. Biarlah aku sombong dalam kebodohan, bagaimanapun tidak sedikit aku menjentik dalam kehidupan kau sendiri.

Manusia biasa yang mencari laluan

Biarlah bodoh dan sombong itu aku, hanya satu aku ingin bicarakan. Selagi ajaran kedua ibu bapa, agama dan sekutu dengannya tidak aku tentang, dan janganlah kau cuba tentang atau ganggu dalam jasad yang aku nafaskan ini. Duniawi ini hanya sementara, biarlah aku hanya pandai menaip kata – kata mahupun berbicara tentang agama namun ingat bahawa aku tidak pernah sesekali menjentik kau dalam dunia kau miliki. Tidak salah biarkan aku hidup dalam khayalan bukan? Kerana dunia ini hanya ada satu peluang untuk dinikmati dan dihargai asalkan tidak melanggar batas. Yang paling penting sebodoh mana pun aku, kubur kita lain suasananya. Baik buruk itu kerja Tuhan dan bukan urusan kita untuk campur tangan.

Ingatlah, aku manusia tidak berharta raya, dinding rumah tidak berasaskan batu dan hanya ingin hidup seperti orang lain. Aku bukan ancaman pada kau kerana aku manusia yang berada disimpang laluan lurus itu yang mencari kebahagiaan dan kehidupan yang diredhai. Maafkanlah andai garapan ini bukan aku dalam realitinya. Hakikatnya, tulisan ini lebih menjurus kepada hati.

P.S Izham Ismail, terima kasih untuk sedikit penghargaan. Kepada kawan – kawan ‘IVS’ anda buat saya nampak elok di pandangan. Terima kasih.

“disaat aku rebah terduduk..”

Posted in Uncategorized on June 20, 2010 by burgerdua

*Tolong klik lagu ini dan terus membaca ya? Untuk mendapatkan mood.

Biar di jembala mentari dan di bahu gunung berapi. Hasrat aku abadi untuk tahu. Berdebar – debar sejak kebelakangan ini, entah apa mahu hati apa yang difikirkan hati dan kini bercampur – aduk. Benar, hati tidak di kurniakan akal untuk berfikir namun ianya seolah – olah respon kepada pemikiran yang mahukan itu dan ini. Mungkin jawapan itu ada pada Tuhan. Baiklah sebagai umat Muhammad dan makhluk Tuhan, aku tunggu dan sabar untuk debaran ini. Akan tetapi soalnya mengenai apa? Cinta? Rasa kegembiraan ataupun kesedihan?

Beberapa hari sebelum aku melupakan dan menutup kamus kemahsyuran yang sementara ini, aku berterima kasih kepada semua para sahabat – sahabat dan seorang individu popular yang menghargai dan menerima baik buruk hati ini. Ikhlasnya hati ini tidak mampu berkata apa – apa pada semua dan aku berharap di kurniakan hidayah yang cipta rasa – rasa ini. Namun ini bukan soal keduniaan semata – mata dan ia adalah soal bagaimana kita mula melihat diri dalam setiap manusia lain. Biarpun kita melihat manusia – manusia lain namun mereka umpama cermin yang memantulkan perwatakkan yang pernah kita lakukan dan tujuannya untuk memperbaiki diri untuk lebih hampir sempurna walaupun cukuplah sekadar hampir.

Kesedihan dalam kegembiraan itu sebenarnya adalah hidayah daripada Tuhan. Justeru aku hanya manusia biasa yang telah membuatkan manusia lain berasa kurang senang. Maaflah aku hanya kembara di sisi Tuhan yang mencari dan masih mencari erti kehidupan itu dan ini. Bagaimanapun ada juga menghiburkan lara hati ini dalam penulisan blog yang baik serta penuh hemah. Sekurang – kurangnya aku mampu untuk berterima kasih kepada mereka dalam nafas ini. Terima kasih Merul, Nadea, Wawan dan Shakira.

Aku harap aku tidak aniaya diri sendiri untuk selamanya. Tuhan aku mohon kehidupan yang baik dan indah daripada-Mu. Debar – debaran masih ada di dada entah kenapa. Mungkin mengingati pemergian Arwah Papa semperna hari bapa hari ini. Mungkin sedikit sebanyak. Mungkin ini adalah rasa – rasa sebagai manusia biasa. “Ya Allah redhai kehidupan orang – orang yang baik di sekeliling aku ini, mohon pada-Mu Ya Allah. Amin”.

Selamat Hari Bapa buat anda.

“kenapa entri ini AHZ?”

Posted in Uncategorized on June 17, 2010 by burgerdua

 

Poyo je lebih.

Menulis ini adalah di antara satu cara membina kekuatan mental dan meluahkan emosi. Justeru menulis ini boleh mengurangkan tegangan yang di alami oleh seseorang yang sukar untuk meluahkan perasaan mereka, kecuali pada teman rapat. Bagaimanapun aku menulis kerana minat dan mungkin kedua – duanya. Mungkin kepada minat.

Untuk entri ini aku merasakan seperti malu – malu untuk menaip keletuk keletak papan kekunci ini di sebabkan HZ. HZ? Aku sudah tersenyum dengan menulis mengenai signature ini, mungkin perkara biasa bagi mereka yang tidak mengenalinya. Tetapi dengan pemikiran yang waras dan daya kreatif yang di tambah dengan imaginasi terciptalah itu dan ini. Aku hanyalah manusia biasa yang memikul beban realiti dalam norma kehidupan ini, benar. Janganlah biarkan perasaan haloba untuk meninggi diri itu menebal dalam kamus hidup. Cuma bersyukur pada Tuhan sesaat dikurniakan kejayaan. Amin.

AH. Bukan bunyi “ah” tetapi di sebut seperti “H.Z” cuma perbezaan pada awalan “A” dan pengakhiran “Z”. Namun “H” jangan dilupakan kerana ianya umpama jambatan pada “A” dan “Z”. Ini adalah suatu propaganda yang cuba diciptakan aku dalam imaginasi yang sedang aku fikirkan kini. Ya, ketika menulis ini. Apabila dicetuskan dan diterbitkan ia seperti formula matematik, tetapi ia tidak juga seperti formula kimia mahupun fizik. Ia adalah gabungan nama. Sudah dapat?

Baik seperti melengah-lengahkan masa ketika ingin merungkai persoalan ini. Mungkin diantaranya sudah dapat meneka. Bismillahirrahmanirrahim. Sebenarnya ia adalah gabungan nama yang terdetik tiba. AH adalah aku sendiri. Aziz Hazmi. HZ? Sudah tentu Hanis Zalikha. Kerana itu tercipta AHZ dan tidak perlu AHHZ. Terlalu panjang. Terima kasih sudi membaca.

Tetapi kenapa entri ini mengenai AHZ?
Aku tidak pasti.

“berterima kasih”

Posted in Uncategorized on June 16, 2010 by burgerdua

Aku ‘menjual’ dan pertontonkan diri kepada semua. Namun aku sedar itu hanyalah sekadar mengikut rentak dalam hiburan duniawi melalui permainan hidupan ini. Jika ‘ini vidiyo saya’ di salah ertikan, sepuluh jari memohon maaf.

Entri ini bukan entri simpati mahupun luahan hati tetapi tentang menghargai individu yang telah menghargai individu lain. Sungguh tidak terkata dan kelu lidah untuk berbicara. Namun aku berharap punyai peluang untuk berterima kasih secara terus kepada insan bernama Izham Ismail kerana telah menjadikan aku orang baru. Orang baru bukan bererti lupa diri tetapi baru dalam mengenali kehendak hidup. Kerana apa yang baru beliau lakukan telah membuatkan saya mendapat slot di antara blog terbaik di Malaysia. ‘Ini belog saya’ yang bertuankan seorang peragawati yang cantik, Hanis Zalikha namanya. Indah bagai bau haruman bunga.

Sebagai umat biasa dan hamba Allah, peluang sekali seumur hidup dalam apa jua bentuk aku sungguh berterima kasih. Bukan mudah untuk melihat setiap orang kagum dan menghamburkan kata – kata pujian bagi setiap perkara yang dilakukan. Namun itu bukan alasan untuk aku terus meninggi diri dalam hidup. Mungkin hari ini aku lebih baik dan mungkin esok lusa adalah hari kamu. Waspadalah kerana segala kejadian di bumi Allah ini adalah pinjaman yang tidak bertarikh dan bertempoh, justeru belajarlah menghormati serta berterima kasih.

Rasa dengki, rasa meluat itu adalah hak individu. Aku adalah manusia yang tuli telinganya dan tuli rasanya namun aku percaya aku bukan manusia lupa diri. Melayu kita layu kerana ada sikap tidak sepatutnya dan aku tidak sesekali berbangga dengan angan – angan semut ini cuma menghargai sejenak usaha untuk berjaya. Percayalah kelak bakal tiba hari kamu.

Cik Hanis Zalikha dan Izham Ismail serta rakan – rakan yang terlibat terima kasih. Tidak lupa pada Ayieq kerana menjadi orang pertama yang bertanggungjawab mengedarkan video ini sehingga mendapat perhatian Hanis Zalikha. Terima kasih juga buat Onnie, Balqis, Rais dan Azlif kerana turut mengedarkan video ini di Page Hanis Zalikha. Maaflah kerana tidak menyebutkan nama – nama yang lain. Terima kasih tidak terhingga buat anda juga.

Terima Kasih!

“usaha”

Posted in Uncategorized on June 11, 2010 by burgerdua

Fitrah manusia mengejar apa yang sukar dikejar pada realitinya namun apakah erti hidup andainya terbiar sahaja. Ketika kecil, kanak – kanak, remaja dan dewasa serta akhirnya tua tanpa cita – cita. Bagaimanapun ada benda yang kita mampu miliki dan ada yang tidak. Oleh itu ukur baju sendiri, buka mata dan minda, tanyakan pada diri apakah sebenarnya tujuan kita hidup.

Ini Hanis Zalikha tapi ini belog saya bukan dia punya 🙂

Ini adalah kata – kata pemangkin untuk aku jua namun untuk menggapai realiti kita seharusnya bersedia dan berkeyakinan. Usaha itu penting dan percaya dengan apa yang dilakukan itu adalah semangat yang seharusnya ada dalam diri.

Ini adalah sedikit usaha walaupun tujuannya berlainan dengan tambahan sedikit hiburan, tetapi ini adalah langkah pertama untuk kita mengorak langkah dan berani dalam hidup. Walhal pada asalnya berlainan dengan apa yang aku garapkan daripada mula tentang usaha dan keyakinan. Saksikan 🙂

p/s ; Terima Kasih Izham Ismail

“berkongsi rasa”

Posted in Uncategorized on June 8, 2010 by burgerdua

Melihat sesuatu daripada perspektif yang baik telah menyeru untuk aku menjadi lebih baik dari apa yang aku lihat. Justeru rasa ingin menjadi yang terbaik itu terus membakar semangat walaupun adakalanya tidak menyerupai apa yang dimimpikan semalam. Namun inilah maksud Tuhan, kita hanya merancang dan Tuhan menentukan. Bagaimanapun kekecewaan itu berkemungkinan, oleh itu rasa – rasa positif itu harus diterapkan dalam diri setiap masa dan ketikanya. Jika ianya berjaya, Alhamdulillah syukur pada Tuhan.

Disebalik rasa kangen pada orang yang telah lama pergi meninggalkan aku daripada sisi – sisi hidup pastinya terasa, bagaimanapun semua itu hanya perpisahan yang sementara kelak berjumpa lagi. InsyaAllah.

Aku bukan mencipta bangsa, agama dan tulisan sendiri tetapi aku manusia yang punyai rasa tersendiri mengenai latar jiwa sendiri. Daripada ilmu kejuruteraan aku beralih ke bidang seni, bukankah itu jauh terpesong? Benar. Apakan daya aku tidak digogok oleh manusia – manusia sekitar namun aku digogok oleh perasaan sendiri yang aku percaya ianya adalah pilihan hati. Kita bercakap melalui percakapan, bahasa dan tulisan namun pernahkah kita bercakap dengan hati? Sesetengah murba mulai alpa dengan hanya memandang harta bukannya dasar rasa untuk hidup sempurna bersama. Aku tidak berharta raya untuk dipertunjukkan pada semua, cuma berharta apabila mudah tersenyum dengan hilai tawa. Senang begini mahu bersahabat kita bersalaman, mahu harta aku bukan lelaki idaman dan itu adalah kenyataan.

Ketahuilah bahawa kita adalah manusia yang semakin tuli rasanya. Tidaklah semuanya, bagaimanapun cuba kita rasa dan berterus terang apa yang kita miliki dan tidak.

Aku tidak pernah memakai jubah konvokesyen walaupun sudah menamatkan pelajaran.
Aku tidak pernah merasai tinggal dalam rumah batu namun tidak kisah dengan padangan umum, syukur.
Aku tidak pernah makan melebihi kemampuan bagaimanapun aku sentiasa kenyang, Alhamdulillah.