“terluka diperjalanan Tuhan”

Jeritan sukma tidak lagi mampu didengarkan lagi oleh telinga, hati serta hidupan aku kini kerana aku masih dan masih meniti jambatan terpanjang dalam kehidupan ini sebelum sukma ini tidak mampu menjerit lagi. Tujuannya yang sebenarnya adalah untuk hidup dengan aman dan sempurna disisi Tuhan namun itu semua aku lalui dengan perasaan berat hati. Berat hati kerana terlalu banyak lubang – lubang kosong di jambatan ini sehinggakan aku terpaksa mengimbangi badan untuk melangkah langkah demi langkah supaya tidak jatuh dan menghujam tubuh ini ke daratan yang dipenuhi batu – batu yang mampu meragut nyawa. Aku mohon untuk teruskan perjalanan ini walau apa pun, Tuhan dengarkah? Pasti Dia mendengar, terima kasih.

Akhirnya aku lahir, bernafas serta sempurna pada mata kedua ibu bapa yang bertanggungjawab untuk membesarkan hinggakan aku mampu menaip keletak keletuk di papan kekunci ini dengan idea – idea mengenai kehidupan kini. Terima kasih papa, ajarkan makna seni kehidupan ini serta sindiran – sindiran bernas ketika membesarkan anak lelaki ini dengan penuh kasih sayang. Namun papa telah sudah selamat sampai ke destinasi kehidupan dan telah tamat disitu sebelum meneruskan perjalanan hingga ke akhir jambatan hidupan ini. Merindui papa sudah semestinya, namun tunggu sekejap dan kita habiskan perjalanan ini bersama ahli – ahli keluarga yang lain ke jalan Tuhan dalam keadaan yang baik, InsyaAllah.

Jika pernah aku merasakan rindu pada perempuan sudah tentunya rindu itu pada wanita ini, umurnya sudah separuh abad, masih kuat semangat namun telah tinggal berseorangan setelah papa tinggalkannya sementara mereka bersama lagi nanti. Wanita ini adalah mama, pada aku dia berseorangan kerana dia telah hilang teman hidupnya namun pada keluarganya dia masih memilikinya dengan bahagianya. Terima kasih. Terima kasih kerana membesarkan dalam ajaran tipikal, maksud aku adalah tipikal melayu yang menuntut ajaran agama dan hidup dalam perjalanan yang diredhai Tuhan ini. Kini mama bersendiri lagi bertemankan penyakit namun telah aku katakan, mama masih kuat dan dia cuba melawannya biarpun linangan air matanya jatuh mengalir di pelipis pipinya mengenangkan hidupnya. Penyakit itu adalah ujian Tuhan dalam perjalanannya dan aku hanya mampu duduk disampingnya memberi sokongan. Aku hidup di alam kesederhanaan namun ini sudah cukup untuk aku tidak melupakan segala – galanya dalam hidupan ini, terutamanya mama dan papa.

Kini hanya ada aku yang masih mencari hala tuju, perjalanan aku masih lagi panjang andainya masih panjang. Bagaimanapun ada sahaja simpang ke kanan dan ke kiri. Inilah dugaan yang cuba di uji Tuhan dalam fasa – fasa pengujiannya yang berperingkat, aku harus memilih dan bertegas demi kehidupan ini tidak terkeluar daripada garisan lurus itu. Kadangkala aku telah berhenti dan berputus asa untuk meneruskan perjalanan itu, biarpun lurus namun aku gentar kerana takut terluka serta menerima kehilangan. Aku dikurniakan perasaan, ingin bercinta, ingin menyayangi, ingin kaya, ingin sempurna, ingin tidur dengan sempurna tetapi aku tidak percaya itu adalah aku. Aku adalah manusia yang tidak seharusnya berasa sedemikian. Tidak seharusnya aku mengimpikan wanita yang mampu mencintai aku dengan menerima kemiskinan, kata – kata indah umpama diari maya ini, tinggal di teratak papan dan aku yang tidak miliki apa – apa ini.

Di dalam perjalanan Tuhan ini, bukan aku tidak mensyukuri nikmatnya dan anugerahnya. Aku teramat bersyukur di anugerahkan kehidupan ini dan memilikki ibu bapa yang terbaik, terima kasih Tuhan. Aku bukan putera raja, bukan anak doktor, bukan anak jurutera cuma aku anak peniaga yang mencari sesuap makanan entah bagaimana kehidupan aku dirahmati oleh Tuhan, biarpun tidak kaya namun Tuhan kurniakan kebahagiaan. Aku tidak mampu bertutur dengan baik pada realitinya, ada sahaja pelatnya dan salahnya, bagaimanapun apa yang dipertontonkan dalam bacaan laman ini hanyalah kebolehan yang diberikan Tuhan untuk berfikir mengenai peradaban dalam dalam kehidupan serta penulisan yang baik.

Kehidupan ini ada naik dan turun, semakin hari semakin aku cuba memperbaharui kehidupan ini agar tidak terluka lagi diperjalanan Tuhan ini. Bersama Tuhan, ibu bapa dan keluarga adalah nadi untuk meneruskan perjalanan ini.

Advertisements

One Response to ““terluka diperjalanan Tuhan””

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: