Archive for April, 2010

“apa yang sedang difikirkan?”

Posted in Uncategorized on April 30, 2010 by burgerdua

Rahsia.

Boleh diungkapkan? Boleh dibicarakan? Tidak, kerana itu digelarkan rahsia barangkali.
Apa yang sedang difikirkan?

Mungkin sedang lena diulit mimpi dalam tidur bersadurkan iman (dengan mengingati Tuhan),  entah apa yang dimimpikan kerana bersadurkan angan Рangan dan realiti. Apa yang dimimpikan?
Apa yang sedang difikirkan?

Tidak boleh dibaca apa yang terkandung dalam hati setiap manusia kecuali manusia itu berkongsi tentangnya. Tidak kisahlah rahsia mimpinya mahupun realiti ketika sedarnya jua manusia itu. Mimpi adalah mainan tidur, datang seperti mengingatkan dan sekadar mainan buat manusia ketika diselamkan dalam alamnya. Bagaimana dengan realitinya? Mampukah untuk dikongsikan? Lara dan terlukanya jiwa untuk diceritakan? Jadi ini adalah soalnya berkaitan mimpi?

Mencari ilham untuk diilhami. Sebentar, minda ini cuba terjemahkan.
Sekali lagi, apa yang sedang difikirkan?

Terluka dan kecewa. Ini yang sedang difikirkan aku.
Jika ditanyakan pada manusia lain apa yang sedang difikirkan, lain jawapannya.

“melirik dalam melankolik”

Posted in Uncategorized on April 20, 2010 by burgerdua

Aku terpaksa menyentuh keseluruhan deria itu lalu aku sensitif sendirian dan hampa tatkala terpaksa menanggung sendiri. Baiklah itu rasanya, aku terjerat. Bagaimana rasanya ; terluka..

Kau memuja dia dalam cintamu dan aku memendam rasa. Begitu hampa! Asalkan kau bahagia dengannya, aku bertindak biasa dalam kesakitan. Oh! Tidak terkata.

Akhirnya terenjis dengan tangis,
Aku, ya aku direnjis dengan sinis,
Ini adalah kesakitan batin dan zahir,
Dapat ditunjukkan cuma airmata yang mengalir,
Dek bersungguh – sungguh aku menabur janji,
Kini makan diri dan kau tidak peduli.
Sayu.

Tidak seharusnya ada kesungguhan pada pertama kalinya namun kini tidak seharusnya diikutkan hati yang lara.

Aduh..
Kepedihan menikam dengan dalam,
Beginikah sakitnya hingga berganti siang dan malam?
Ke mana arah ketika jiwa tenggelam?
Tenggelam dalam kepedihan yang sungguh suram,
Tampaknya begitulah.
Aku hanya mampu menyindir dan berserah,
Melalui bahasa kicau,
Justeru didatangi risau.

Hati tidak mampu berkata apa – apa lagi. Kepada Tuhan tangan ditadahkan, kepada jiwa sudah direlakan dan kepada kehidupan perlu diteruskan. Tidak mampu ditelan lagi, belum pulih sebenarnya.

Cuba menjadi Coba,
Dalam bunyi dan sebutan yang sama,
Jantan mana mungkin betina,
Kasar bahasa ; Kasar lagi perbuatannya,
Perlukah aku diperlaku begini?
Sakitnya hampir sama tiap kali?
Aku seperti persoalkan Tuhan,
Kerana terlalu ikutkan perasaan,
Melayan mata masih tercelik,

Aku melirik dalam melankolik. Benar, benar aku terluka dalam batin yang sembunyi dalam zahir yang gembira bermain dalam perjalanan Yang Esa.

Mengapa?

“abstrak dan susunan 4”

Posted in Uncategorized on April 20, 2010 by burgerdua

Dahulunya perasaan itu malu – malu dalam mahu. Ketika perasaan terketar – ketar mahukan sedalamnya rasa itu diluahkan dalam butiran percakapan yang jelas satu per satu. Namun kini perasaan itu dibuang dan sungguh mudah. Mengapa? Berkemungkinan perasaan itu juga punyai tarikh luput, digunakan sebelum rosak rasanya. Mungkin sudah tidak berkesempatan untuk menebus serta membetulkan perasaan ini dan biarlah ia terjadi.

Susunan : Perasaan

Propaganda itu mencetuskan prolog dalam paradoks,
Ertinya ; pendahuluan dan perkara mustahil dalam hidup,
Rasanya juga perih tatkala minda seperti tiba – tiba didatangi strok,
Adanya rasa itu ketika dukacita silih berganti dalam redup,
Seperti malang bertimpa – timpa dalam perjalanan yang telah ditutup,
Apabila aku keseorang dalam dilema,
Antara sebabnya perasaan itu telah dibuang,
Nun jauh ke lubuk kebencian namun masih kecewa.

Sinopsis :

Setiap cerita dan penceritaan dimulakan dengan pendahuluan dan diakhirinya dengan penutup yang kemas dan tertib mengikut susunan kisah. Bagaimanapun ingin juga ditonjolkan rasa kasih, rasa peduli dan ingin tahu namun dalam klimaksnya diselitkan rasa mustahil. Perlukah di khabarkan rasa sedih dan perih itu dalam sesebuah kisah manusia? Mungkin ianya mustahil dimata manusia tetapi tidak pada pandangan Tuhan. Bila rasa itu menjelma, otak tiba – tiba berhenti berfungsi tatkala ditemani rasa sedih dan sepi.

Sudahlah jalan kehidupan itu berliku – liku namun diteruskan demi menyahut seruan Tuhan Yang Esa. Perasaan tetap menjadi sesebuah perasaan apabila diluahkan mahupun disimpan dalam hati yang terbuku. Tidak pasti haruskah dibiarkan dengan pertanyaan mahupun dilema keseorangan menjawab pertanyaan sendiri. Mungkin belum sempat diluahkan dan dibincangkan mengenainya, perasaan itu telah dibuang awal – awal. Akhirnya terkecewa dengan tindakan yang tidak dapat dipungut semula untuk disimpankan dalam hati.

“sayapku”

Posted in Uncategorized on April 15, 2010 by burgerdua

Dedikasi kepada Mama tersayang dalam pertanyaan diminda aku kini yang seringkali menjadi tanda tanya, apa yang telah berlaku ketika dia ditidurkan dalam kritikal tubuhnya? Disalurkan pernafasannya melalui tiub oksigen? Namun yang paling penting, apa yang dimimpinya dalam tidurnya itu? Tiada jawapannya, cuma ada kesabaran. Sedikit sahaja lagi, sabarlah Mama dengan proses “pembersihan” ini.

Mamaku Sayang – Ini dedikasi dan sokonganku.

Mohon dijauhkan kegentaran,
Andai itu yang didekatkan dalam mimpi ibu,
Mohon aku supaya ditemani Tuhan,
Akan aku doakan Tuhan bersama ibu dalam mimpi ibu,
Kerana Dia lebih berpengetahuan,
Untukmu wahai ibu ; untukmu.

Sayangnya ibu disitu berseorangan,
Apalah nasib ditemani hanya bacaan doa,
Yang diulang – ulang bacaannya apabila meredakan kesakitan,
Apakah kesakitan ini difikirkan ibu hingga bermain diminda?
Namun tidak dapat aku jawabkan dan terpaksa aku diamkan,
Gagahkan tubuh aku yang terketar – ketar melihat ibu; melihatnya.

Mama, kesakitan yang Tuhan beri ini sebenarnya proses pembersihan dosa – dosa kerana Tuhan sayangkan Mama dan ingin mendekatkan Mama denganNya. Sabarlah kerana ini sementara dalam perjalanan ini dan anakanda sudah tidak mahu kehilangan sayap – sayap lagi setelah Papa pergi menemui Tuhan bersama sayapnya. Yang tinggal dan yang pernah ada ketika ini adalah Mama dan satu – satunya sayap yang anakanda ada ketika ini. Tidak mahu tiada arah apabila sayap ini patah lagi. Anakanda percaya Mama sudah menjalankan tugas sebagai manusia, ibu dan saudara islam yang sempurna, disebabkan itu Tuhan turunkan ujian demi ujian. Sabarlah.

Tangan inilah yang mendidik..

“terluka diperjalanan Tuhan”

Posted in Uncategorized on April 15, 2010 by burgerdua

Jeritan sukma tidak lagi mampu didengarkan lagi oleh telinga, hati serta hidupan aku kini kerana aku masih dan masih meniti jambatan terpanjang dalam kehidupan ini sebelum sukma ini tidak mampu menjerit lagi. Tujuannya yang sebenarnya adalah untuk hidup dengan aman dan sempurna disisi Tuhan namun itu semua aku lalui dengan perasaan berat hati. Berat hati kerana terlalu banyak lubang – lubang kosong di jambatan ini sehinggakan aku terpaksa mengimbangi badan untuk melangkah langkah demi langkah supaya tidak jatuh dan menghujam tubuh ini ke daratan yang dipenuhi batu – batu yang mampu meragut nyawa. Aku mohon untuk teruskan perjalanan ini walau apa pun, Tuhan dengarkah? Pasti Dia mendengar, terima kasih.

Akhirnya aku lahir, bernafas serta sempurna pada mata kedua ibu bapa yang bertanggungjawab untuk membesarkan hinggakan aku mampu menaip keletak keletuk di papan kekunci ini dengan idea – idea mengenai kehidupan kini. Terima kasih papa, ajarkan makna seni kehidupan ini serta sindiran – sindiran bernas ketika membesarkan anak lelaki ini dengan penuh kasih sayang. Namun papa telah sudah selamat sampai ke destinasi kehidupan dan telah tamat disitu sebelum meneruskan perjalanan hingga ke akhir jambatan hidupan ini. Merindui papa sudah semestinya, namun tunggu sekejap dan kita habiskan perjalanan ini bersama ahli – ahli keluarga yang lain ke jalan Tuhan dalam keadaan yang baik, InsyaAllah.

Jika pernah aku merasakan rindu pada perempuan sudah tentunya rindu itu pada wanita ini, umurnya sudah separuh abad, masih kuat semangat namun telah tinggal berseorangan setelah papa tinggalkannya sementara mereka bersama lagi nanti. Wanita ini adalah mama, pada aku dia berseorangan kerana dia telah hilang teman hidupnya namun pada keluarganya dia masih memilikinya dengan bahagianya. Terima kasih. Terima kasih kerana membesarkan dalam ajaran tipikal, maksud aku adalah tipikal melayu yang menuntut ajaran agama dan hidup dalam perjalanan yang diredhai Tuhan ini. Kini mama bersendiri lagi bertemankan penyakit namun telah aku katakan, mama masih kuat dan dia cuba melawannya biarpun linangan air matanya jatuh mengalir di pelipis pipinya mengenangkan hidupnya. Penyakit itu adalah ujian Tuhan dalam perjalanannya dan aku hanya mampu duduk disampingnya memberi sokongan. Aku hidup di alam kesederhanaan namun ini sudah cukup untuk aku tidak melupakan segala – galanya dalam hidupan ini, terutamanya mama dan papa.

Kini hanya ada aku yang masih mencari hala tuju, perjalanan aku masih lagi panjang andainya masih panjang. Bagaimanapun ada sahaja simpang ke kanan dan ke kiri. Inilah dugaan yang cuba di uji Tuhan dalam fasa – fasa pengujiannya yang berperingkat, aku harus memilih dan bertegas demi kehidupan ini tidak terkeluar daripada garisan lurus itu. Kadangkala aku telah berhenti dan berputus asa untuk meneruskan perjalanan itu, biarpun lurus namun aku gentar kerana takut terluka serta menerima kehilangan. Aku dikurniakan perasaan, ingin bercinta, ingin menyayangi, ingin kaya, ingin sempurna, ingin tidur dengan sempurna tetapi aku tidak percaya itu adalah aku. Aku adalah manusia yang tidak seharusnya berasa sedemikian. Tidak seharusnya aku mengimpikan wanita yang mampu mencintai aku dengan menerima kemiskinan, kata – kata indah umpama diari maya ini, tinggal di teratak papan dan aku yang tidak miliki apa – apa ini.

Di dalam perjalanan Tuhan ini, bukan aku tidak mensyukuri nikmatnya dan anugerahnya. Aku teramat bersyukur di anugerahkan kehidupan ini dan memilikki ibu bapa yang terbaik, terima kasih Tuhan. Aku bukan putera raja, bukan anak doktor, bukan anak jurutera cuma aku anak peniaga yang mencari sesuap makanan entah bagaimana kehidupan aku dirahmati oleh Tuhan, biarpun tidak kaya namun Tuhan kurniakan kebahagiaan. Aku tidak mampu bertutur dengan baik pada realitinya, ada sahaja pelatnya dan salahnya, bagaimanapun apa yang dipertontonkan dalam bacaan laman ini hanyalah kebolehan yang diberikan Tuhan untuk berfikir mengenai peradaban dalam dalam kehidupan serta penulisan yang baik.

Kehidupan ini ada naik dan turun, semakin hari semakin aku cuba memperbaharui kehidupan ini agar tidak terluka lagi diperjalanan Tuhan ini. Bersama Tuhan, ibu bapa dan keluarga adalah nadi untuk meneruskan perjalanan ini.

“terbaiknya dalam perspektif”

Posted in Uncategorized on April 13, 2010 by burgerdua

Inilah percubaan kolaborasi sajak dengan udara, lagu dan papan kekunci ; keletak dan keletuk. Inilah rasanya dan inilah kolaborasinya dalam sesebuah perspektif semoga ianya kekal terbaik dalam hati. Terimalah.

Apa khabar di sana wahai rasa?
Kelancaran bibirnya diharap masih dengan senyuman persona.
Dalam bicara yang sungguh asyik dan melalaikan,
Bak siang dianggap malam oleh bintang dan bulan.

Permulaan sudah digarapkan,
Berharap ianya sudah meninggalkan mood dengan berkesan,
Seperti mengambil sedikit ruangan dalam pernafasan,
Nafas yang disedut dah dilepaskan,
Dalam perkabaran yang baik dalam kesempurnaan,
Berbentuk hati kamu dalam keikhlasan.

Berkata – kata dalam berhujah panjang,
Umpama leteran dan kesakitan,
Namun isi – isinya adalah terang,
Mengenai kamu dan rasa keterujaan,
Yang semakin membara datang dan datang,
Untuk memahaminya dalam ironinya kehidupan,
Dimana rasanya seolah – olah dimedan perang,
Perang cinta yang melibatkan lelaki dan perempuan serta kesempurnaan.

Andai ada kesangsian,
Ianya cuma ada kamu dan nukilan dalam hiburan,
Setelah rasa itu sampai lantas digarapkan,
Yang telah digarapkan dalam peradaban,
Adab Sang Adam kepada Sang Hawa mencari kebahagiaan,
Hanya Tuhan berhak merampas hak – hak mengenai perasaan.

Ada cuma hanya pengucapan indah semata – mata,
Dalam doa aku berdoa kebahagian kamu ikhlasnya,
Andai ada hikmah dapat diiktibarkan melaluinya garapan ini,
Mungkin ianya hanya suatu kebetulan dalam nukilan tentang rasa ini.

“realitinya rapuh di kedua-duanya”

Posted in Uncategorized on April 12, 2010 by burgerdua

Dalam kehidupan jelas tertera maksud sinonim dan antonim. Jelas. Dimana bumi dipijak, dimana langkah terhenti dan dimana jantung terhenti. Lebih Jelas hidup dan mati. Sudah jelas.

Dalam hadis Rasulullah ; “bahawa roh orang mukmin akan ditarik oleh Izrail dari jasadnya dengan perlahan – lahan dan bersopan sementara roh orang kafir direntap dengan kasar oleh malaikat maut bagaikan mencabut seekor khimar”.

Mati.

Dalam kamus hidupan mati itu pergi,
Pergi dalam alam awal mati sebelum dihisab nanti,
Mati selepas Izrail mencabut roh daripada tubuh,
Waktu itu tiada penawar untuk sembuh,
Dalam almari tubuh dikeluarkan segala amalan,
Berdoalah yang dihisab adalah kebaikkan.

Tahankah dengan azab kubur?
Tahukah pertanyaan malaikat dalam kubur?
Yang hidup nyawanya pasti tahu kedua – duanya,
Yang mati nyawanya pasti terketar – ketar terasa,
Alam kubur bukan bererti lena,
Bererti tinggal sementara dalam menuju Tuhannya.

Kehidupan ini adalah sandiwara permainan yang direka dan dicerekakan oleh manusia sendiri dalam konteks hiburan, kesengsaraan dan cinta. Justeru bagi mereka yang ingin menikmati kehidupan perlu sentiasa mengambil iktibar terhadap segala yang berlaku. Namun itu hanya sesalan sementara. Umpama masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Tidak hairanlah sekiranya manusia masih bersuka ria ketika hadirnya kematiannya kerana hadis pun sudah jelas. Sudah jelas menyatakannya.

Dalam hadis Rasulullah lagi : “bahawa malaikat maut memerhati wajah manusia di muka bumi ini sebanyak 70 kali dalam sehari. Ketika Izrail diutuskan oleh Allah untuk mencabut nyawa ada dikalangan manusia masih gelak ketawa. Maka Izrail berkata ; Alangkah hairannya aku melihat orang sebegini ketika aku diutuskan untuk mencabut roh daripada jasadnya”.

Kita semua akan mati, tetapi jangan salahkan hidup. Kerana realitinya rapuh di kedua – duanya. Allahuakhbar.