“saya sudah berpindah”

Posted in Uncategorized on March 4, 2011 by burgerdua

Kepada pembaca setia blog ini, burgerdua telah berpindah ke http://azizhazmipage.blogspot.com/

Maafin. Seperti hidup, ada ketikanya kita ke depan dan ada masanya kita mundur ke belakang. Jadi, saya ‘beralih angin’ sebentar mencari haluan dan mengikuti perkembangan serta peredaran masa. Ampunkan saya.

Tidak sesekali saya melupakan apa yang telah saya miliki disini, inilah tempatnya dimana saya meletakkan foundation atau asasnya untuk saya menerima ilmu dalam penghasilan pembinaan blog. 2 tahun, kematangan dalam menulis terus mengajar erti bertutur dan menulis itu tidak sama apabila keletak keletuk papan kekunci ini ditekan. Teruskanlah menyokong saya walaupun di blogspot.

2 tahun sudah, terima kasih.

“bukan chinta saya 6”

Posted in Uncategorized on March 2, 2011 by burgerdua

Selepas seminggu berat juga untuk menerima hakikat bahawa si dia sudah dimiliki oleh kawan baik sendiri, perasaan ini sedikit sebanyak begitu hambar dan kecewa. Maklumlah ini pertama kalinya jatuh cinta, siapa menduga bila cinta datang dan pergi, kan? Saya cuba kuatkan semangat dan mencari rutin baru setelah bosan dengan melakukan rutin yang sama sebelum ini, menjadi seorang stalker (dulu maknanya pun tak tahu), namun janganlah salah faham. Bukan menjadi seorang stalker yang serius pun, cukuplah sekadar mengambil tahu tentang si dia jadilah. Rutin baru saya adalah dengan menyertai kelab komputer di sekolah, untung juga dah diberi pendedahan awal dalam basic komputer dan kini sedikit sebanyak membantu saya lebih mahir.

Keluarga saya bukanlah daripada golongan kaya, saya hanya merasa untuk bermain komputer hanya di sekolah disebabkan tiada komputer dirumah namun kelab komputer ini bukanlah kelas percuma. Yurannya RM30 sebulan, mahal juga kalau nak diikutkan tapi mahu atau tidak mama menuruti kehendak saya. Bagaimanapun kelas ini sangat bermanfat dan kalau tidak ada teman yang mengajak, sudah tentu saya tidak tahu tentang komputer. Kawan baik saya itu yang mengajak, dia kawan saya dan apa pula kata dia kalau saya menolak. Sejak daripada tadika selalu bersama, duduk pun sebelah menyebelah cuma bezanya dia ternyata lebih pandai berbanding saya. Syukur juga dia bukan kawan yang memilih. Apa pun berat jugalah hati ini terpaksa berhadapan setiap kali kelas komputer tapi sudah tertulis jodoh kawan saya ini dengan si dia, redha sahajalah.

Kawan baik saya ini tidak tahu bahawa saya menyukai teman wanitanya dan sering sahaja berkongsi cerita dengan saya, apa yang teman saya ini lakukan bersama si dia dan bersyukur jugalah perempuan yang saya paling sayang disekolah ini selamat pada genggaman lelaki yang baik. Baru berumur 11 tahun fikiran tidaklah sematang mana, namun bolehlah juga berfikir yang mana baik dan buruk cukuplah. Persekolahan ini sudah bertukar lebih seronok dan saya tidak pernah ponteng sekolah tanpa sebarang sebab kecuali sakit dan lain-lain perkara yang tidak dapat dielakkan. Perkara pertama sudah tentulah tentang si dia dan keduanya kelab uniform, Pengakap sekolah rendah. Di sekolah saya, unit uniform ini paling terkenal dan mempunya ahli yang paling ramai. Si dia dan kawan baik saya itu juga adalah kawan seunit. Memang meriah dan susah mahu digambarkan melalui kata-kata selain gambaran jelas melalui gambaran imej. Saya tidak kaya, dan tidak mampu untuk bawa kamera keluarga sesuka hati oleh itu saya tidak mempunyai sebarang gambar untuk dikongsi.

Saya tidak bersikap rendah diri tapi arwa papa selalu cakap, “biarlah susah macam mana pun, janji kita boleh makan cukup dan kalau mahu lebih, belajar rajin-rajin”. Masih jelas kata-katanya hingga kini, kerana setiap hayatnya papa akan mengulangi kata-kata itu. Sejak daripada darjah 3 saya sudah pandai menyimpan duit, ketika itu belanja sekolah cuma RM2. RM1 untuk makan rehat dan RM1 lagi simpan, tiap-tiap hari saya simpan dan gunakan duit itu kadang-kadang beli mainan ataupun apa yang saya rasakan perlu. Mungkin kerana didikan ini, sampai sekarang saya masih lagi menyimpan koleksi mainan saya sampai sekarang dan bersikap lebih menghargai. Saya tak mengharap si dia tahu akan kesusahan saya tapi saya cuma mengharapkan si dia tahu yang saya suka padanya. Saya ada minta pada papa untuk belikan sebuah basikal dan papa tunaikan itu pun tambah duit yang saya kumpul selalu. Itulah basikal kedua saya, basikal impian kanak-kanak lelaki sebuah basikal BMX warna ungu.

Si dia ada memuji basikal saya cantik dan katanya warna ungu adalah warna kegemarannya. Selalu sahaja saya menumpangkan kawan baik saya untuk ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat bersama-sama dan sesudah selesai bersolat saya menghantarnya pulang ke rumah. Pernah sekali, ketika itu hari Jumaat, kawan saya minta saya pulang ke rumah untuk mengambil basikal saya sebelum kami sama-sama ke masjid untuk bersolat Jumaat. Sementara menunggu saya pulang ke rumah, kawan saya itu berjumpa dengan si dia di pondok sekolah sambil menunggu kedatangan saya. Hancur juga hati ini tapi mahu atau tidak, niat hati ini mahu jugalah menunjuk-nunjuk basikal baru pada si dia dan disebabkan itulah si dia memuji basikal saya ini. Saya rasa seperti dipergunakan tapi atas dasar kawan, saya turutkan.

Bersambung..

“kayuh sepeda dari kl lumpur”

Posted in Uncategorized on February 18, 2011 by burgerdua

Lama sudah tidak menjenguk blog, sudah berhabuk namun diharapkan isi-isinya sebelum ini belum lapuk dek waktu. InsyaAllah.

Banyak perkara sedang berubah kini, Alhamdulillah pemerintahan kuku besi akhirnya berakhir namun belum sepenuhnya. Syukur ramai umat Islam masih dapat menyambung nyawa. Hidup bukan seperti permainan video, mati hidup semula. Bukan. Saya pun sudah berubah dan hampir dewasa sepenuhnya.

Mula-mula saya kayuh sepeda buruk itu daripada umur 5 tahun, pertama kalinya dibeli oleh Arwah papa di pasar malam dan terus melakukan kayuhan pertama dari pasar malam ke rumah. Walaupun mendapat sokongan roda kecil dibelakang, saya percaya jika saya terjatuh sekalipun papa ada dibelakang mengawasi. Terima kasih papa, Al-Fatihah (13 Disember 1943 – 20 Februari 2006). Selepas itu saya sudah pandai mengayuh tanpa perlu diawasi oleh papa dan kini saya boleh memandu kereta. Lihat. Daripada sepeda kecil itu, motosikal hinggalah memandu kereta. Saya sudah dewasa dan tidak perlu diawasi lagi.

Rupa saya pun sudah berubah, dulu mama bubuh bedak dipipi supaya wangi, biasanya selepas mandi. Mandi pun mama yang mandikan, baju dipakaikan. Kemas wangi. Makan disuapkan dengan cermat supaya tak tumpah ke lantai. Kini saya sudah pandai buat segala-galanya. Mandi mesti cuci muka dek kerana hormon remaja menyebabkan jerawat tumbuh justeru menggunakan pencuci muka supaya kekal bersih. Deodorant dan pewangi dipakai sebelum disarungkan pakaian, lihat anak lelaki ini sudah meningkat dewasa. Makan tertib diatas meja dengan suapan tangan sendiri. Lihatlah, apa yang diajarkan mama? Berguna bukan? Terima kasih mama.

Itu baru sedikit, pengalaman banyak lagi harus saya dapatkan. Itupun kalau umur panjang, InsyaAllah. Apa-apa pun saya tidak perlu kayuh sepeda untuk sampai ke mana-mana kerana pengalaman itu yang harus dicari supaya bila saya keseorangan nanti ia lebih berguna. Walaupun saya gigih mengayuh sepeda dari mana-mana ke KL lumpur tetapi tidak satu pun ilmu saya perolehi daripada kayuhan itu, pengalaman itu langsung jadi tak berguna.

Inilah dinamakan perubahan. Walaupun kecil, besar maknanya. Hargai pengorbanan ibu bapa ya? Terima kasih.

“ruang iklan”

Posted in Uncategorized on January 24, 2011 by burgerdua

Ada suatu ketika sebelum saya mengenal erti maksud philosophia yang bermaksud falsafah atau falsafi atau yang lebih jelasnya maksudnya adalah ‘kecintaan kepada ilmu’. Saya hanya seorang pemuda yang hanya tahu berfalsafah dengan bergelak ketawa dan menjadikan sesiapa yang terlintas sebagai ‘bahan’ ketawa di kedai mamak,  selalunya yang menjadi bahan adalah kawan-kawan saya (haha, maafin).

Itulah saya, hanya tahu berfalsafah namun tidak sedikit pun mengetahui makna sebenarnya. Namun itu perkara yang sudah terjadi sudah hampir 8 tahun ianya berlalu terlalu sekejap, sekejap sahaja. Inilah hakikat yang perih untuk diterima oleh saya mahupun sesiapa yang turut merasai pengalaman begini, untuk apa yang telah berlaku dulu, kini dan selamanya. Sepinya waktu saya mengenangkan pengalaman yang telah saya lalui ini. Sungguh.

Seorang pemuda berusia 23 tahun, bernafas selesa disamping keluarganya, selalunya gemar malah terbiasa bertanya pada dirinya sendiri apakah telah terpikul beban tanggungjawab duniawinya? Namun kenyataannya saya tidak mampu menjawab untuk soalan daripada soalan saya sendiri. Tanggungjawab duniawi tergolong seperti 5 waktu, kebaikkan kepada keluarga mahupun saudara-saudara islam dan Tuhannya sendiri serta apa-apa yang melibatkan duniawi. Apa yang boleh saya jawab, belum lagi padu ibadah ukhrawi ini untuk menuju firdausi.

Kelibat saya dengan seorang lelaki berusia 37 tahun sepetang dimeja telah membuka mata saya untuk mencurahkan apa yang terbenak didada dengan berkongsi cerita. Lelaki bujang ini menceritakan pengalaman hidupnya dan sedikit sebanyak apa yang dilaluinya sudahpun saya laluinya namun tidak ‘semasin’ lelaki ini yang sudah merasai garam sudah hampir 37 tahun. Inilah hakikinya, budak kecil yang seakan-akan kita lihat semalam baru berusia 2 tahun dan kini sudahpun berusia 12 tahun hari ini. Allahuakhbar. Kisah cinta pertama saya yang sudah berusia hampir 13 tahun lalu masih segar diingatan walaupun ada juga sudah lapuk untuk diingatkan. Bertapa saya merindui apa yang telah saya lalui, benar-benar rindu.

Pernah saya terbangun pagi, dicapai tuala dan bergegas ke bilik mandi dan apabila melihat jam baru pukul 7.30 pagi namun saya masih terpinga-pinga kenapa, kenapa saya terfikir untuk ke sekolah pada hari itu. Inilah yang terpaksa saya tempuhi, kejamnya masa memperdaya hingga saya tersedar daripada lamunan mimpi semalam bahawasanya saya sudah berusia 23 tahun hari ini dan saya tidak perlu ke sekolah lagi. Selama hayat ini ada tidak sekalipun saya terfikir untuk apa yang sudah terjadi sehinggalah perasaan rindu ini menjengah setelah 23 tahun.

Kelmarin mama kejut untuk ke sekolah, semalam mama kejut untuk ke kolej dan hari ini saya kejut mama untuk makan dan esok kejut anak-anak saya untuk ke sekolah. Putaran dunia sudah menjadi giliran untuk saya menjadi lebih berusaha dan lebih matang untuk bersiap sedia dengan liku-liku kehidupan ini. Semoga apa yang saya lihat dan pelajari memberi seribu makna yang lebih bermakna. InsyaAllah. Kadang-kadang bila kita fokus kepada apa yang kita hadapi kini, pastinya memori ini akan menjadi ruang iklan kepada apa yang kita kecapi hingga ke hari ini.

Benar, kehidupan akan hanya bererti jika insan sendiri yang berupaya mencurahkan makna ke dalam cangkir usianya.. – A. Samad Said

P.S. Hayati liriknya.


“bukan chinta saya 5”

Posted in Uncategorized on January 22, 2011 by burgerdua

Berpaling tiada guna lagi lalu akhirnya saya meninggalkan ‘pemandangan’ tadi disebabkan rasa cemburu yang membuak-buak dan tidak tertahan airmata ini namun cuba dikawal. Kali pertama saya akui, degupan jantung ini berdegup kencang dan seolah-olah jantung ini meronta-ronta untuk keluar daripada jasad ini. Memang benar saya jealous dengan apa yang saya lihat sebentar tadi, si dia dan lelaki itu dengan hilai tawa. Apa yang boleh dilakukan, teruskanlah cita-cita ini mudah-mudahan perasaan si dia masih kukuh.

Semakin hari semakin akrab pula persahabatan yang mula terjalin diantara si dia dan lelaki tersebut, hinggakan sebuah senyuman saya tidak lagi mampu memberi perhatian kepada si dia dan saya redha. Bak kata orang sekarang chemistry (perhubungan kimia) itu penting dalam permulaan membina sebuah relationship, selain persamaan dan mungkin itu tidak ada diantara kami berdua, mungkin. Maksud saya disini adalah, persamaan seperti kami berdua adalah ahli pengakap sekolah dan lain-lain itu tidak ada. Seperti lelaki itu, dia juga ahli pengakap dan juga wakil sekolah dalam sukan hoki. Si dia juga adalah wakil pasukan hoki sekolah. Jadi jelaskan? Si dia pengakap dan ahli sukan manakala lelaki itu juga pengakap dan ahli sukan.

Saya tidak bersukan bukanlah kerana saya tidak berbakat namun ketika itu saya cuma seorang lelaki bersaiz besar (gemuk) dan tiada kuota untuk seorang atlet bersaiz besar macam saya. Disebabkan itu, sedikit demi sedikit perasaan si dia tersisih terhadap saya. Kadang-kadang yang membuatkan saya sakit hati adalah, lelaki itu menunjuk-nunjuk apa yang diterimanya daripada si dia, contohnya biodata. Saya pun pernah memiliki biodata si dia namun terasa kecil hati kerana apa yang saya pernah miliki sudahpun lelaki itu dapat. Jadi tiada apa yang istimewa lagi.  Kami masih berkawan lagi dan kadang-kadang si dia menghampiri dan kami bertanyakan kabar masing-masing. Tapi moment itu tidak lama setelah munculnya kehadiran lelaki tersebut didepan matanya.

Saya akui, ketika itu saya sangat sedih tetapi tidak sesekali memahami apa yang saya mahukan daripada si dia dan seringkali memarahi diri sendiri kerana kurang menawan. Pernah saya utuskan surat dan dikirmkan kepada kawan baiknya untuk diserahkan kepada si dia namun saya menerima maklum balas yang sangat lambat. Dalam surat itu rasanya tidak ada yang penting selain saya mengatakan dia sudah sombong dan tidak mahu melayani saya lagi. Tiap kali terlihat wajahnya ketika dia menuruni tangga pastinya dia kelihatan serba salah untuk memandang saya (ketika itu saya duduk ditepi tingkap) dan tiada satu senyuman pun dilemparkan. Saya mula gelabah dan merasakan degupan jantung itu bermula lagi.

Akhirnya saya menerima suratnya melalui kawan baiknya, dalam surat itu si dia memperjelaskan keadaan sebenar dan mengatakan dia tidak sombong cuma sibuk untuk menikmati hari-hari yang pernah kami lalui dulu didarjah 4. Dalam suratnya juga telah menyentap sedikit sebanyak perasaan saya ini, dimana si dia telah berterus-terang bahawasanya si dia sudah dimiliki oleh lelaki tersebut dan perlu meluangkan masa untuk dibahagikan antara pelajaran, sukan serta lelaki itu. Si dia harapkan saya memahami situasinya. Saya amat memahami situasinya namun si dia tidak sedikit pun tahu situasi apa yang saya alami ketika itu. Kekecewaan.

Siapa yang tidak mahu orang yang kita sayang bahagia kan? Saya hanya mampu berdoa setiap kali melihat mereka berdua-duaan, baik dikantin mahupun dipadang. Lelaki itu sebenarnya kawan tadika saya dan kami sudahpun berkawan sejak kami berumur 6 tahun lagi hingga waktu itu kami berumur 11 tahun. Kiranya lelaki itu adalah kawan baik saya dan disebabkan itu dia berani menunjuk-nunjuk apa yang diterimanya daripada setiap pemberian si dia. Tapi tidak boleh disalahkan kawan baik saya itu kerana dia pun tidak tahu perasaan saya terhadap si dia yang ketika itu sudah bergelar girlfriend kawan baik saya itu.

Bersambung..

“bukan chinta saya 4”

Posted in Uncategorized on January 11, 2011 by burgerdua

Saya masih ingat pada tahun 1999 itu kita semua umat islam telah menyambut kedatangan Ramadhan pada bulan 1 dan ketika itu sesi persekolah telah dibuka. Ketika itu saya telah pun berumur 11 tahun, darjah 5 namun kali ini agak ‘sepi’ disebabkan telah berpisah dengan si dia. Bukan berpisah perhubungan namun berpisah kelas, bezanya cuma 1 kelas sahaja iaitu saya dikelas nombor 3 dan dia dikelas nombor 2. Masih ada kawan-kawan lain yang masih kekal dikelas yang sama namun ‘rasa’ itu tidak sama seperti yang saya rasakan seperti tahun lepas. Keseorangan.

Bagaimanapun rasa keseorangan itu telah diwarnai oleh si dia, saya masih ingat ketika pertama kali saya menerima kad raya daripada si dia. Cerita ini sangat melucukan, sehingga sekarang saya masih mengingatinya dan pasti tersenyum. Pada 15 Januari 1999, rasanya kalau tak silap hari itu hari jumaat. Ketika itu cikgu belum masuk dan budak-budak kelas bising seperti monyet namun saya hanya diam termenung mengadap pintu depan, tiba-tiba muncul seorang perempuan iaitu teman baik si dia. Melambai-lambai ke arah saya namun saya berasakan seperti perempuan itu tersilap orang dan akhirnya memang benarlah perempuan itu memanggil. Justeru saya terus ke arahnya dan bertanyakan mengapa, lalu ditunjukkan saya ke arah tangga dimana si dia sedia menunggu sambil melemparkan senyum manis. Oh Tuhan. Manisnya.

Saya pun ke arahnya, tiba-tiba si dia mengeluarkan sampul surat putih dan saya tertanya-tanya namun dia telah menyuarakan pada saya supaya baca dirumah dan jangan dibocorkan rahsia. Lalu saya terus menyimpannya ke dalam baju sekolah dan berasa tidak sabar untuk membacanya apabila pulang ke rumah. Loceng berdering, lantas dikemaskan buku-buku serta alatan tulis ke dalam beg dan terasa begitu teruja untuk pulang ke rumah. Bayangkanlah saya berlari-lari untuk cepat sampai ke rumah, sampai dirumah mama menyangka saya dikejar anjing. Haha.

Sudah tidak ingat apa kandungan kad raya itu namun apa yang pasti pantun 2 kerat ini,

“Pecah kaca pecah gelas,
Sudah baca harap balas”

Sudah menjadi kebiasaan pantun budak-budak sekolah dulu. Sangat kelakar apabila terkenang kembali. Namun hajat saya tidak kesampaian kerana minggu itu adalah minggu terakhir persekolah kerana bakal menyambut cuti hari raya. Siapa yang kenal saya pasti mengetahui betapa cekalnya saya dalam mengejarkan sesuatu sampai dapat. Saya ada menulis kad raya buatnya namun menunggu sekolah buka selepas cuti raya untuk membalas kad raya si dia. Cuti agak lama dan menimbulkan kerinduan, pada suatu pagi saya menerima panggilan telefon (ketika itu telefon rumah sahaja), pantang sebut nama pasti dia muncul namun kali ini muncul di ganggang telefon. Seronoknya, Tuhan sahaja tahu perasaan saya ketika itu. Perbualan singkat tetapi meninggalkan kesan yang begitu dalam.

Sekolah dibuka semula dan saya terus mencari si dia untuk menyerahkan kad raya yang telah saya simpan untuk diberikan kepadanya. Bagaimanapun nasib tidak selalunya baik, selepas saya menyerahkan kad raya itu kepadanya, harapan saya dia akan membukanya serta terus membacanya namun akhirnya ketika saya menoleh seorang lelaki menegurnya. Saya cuma melihat dari jauh, dia tersenyum dan ketawa gembira bersama lelaki itu lalu saya terus berlalu tanpa menoleh kebelakang lagi..

Bersambung..

P.S sorry kad raya yang pertama itu telah hilang dan tidak dapat ditunjukkan.

“bukan chinta saya 3”

Posted in Uncategorized on January 2, 2011 by burgerdua

Selepas kejadian semalam, kami mula bertegur semula namun saya masih terpinga-pinga (sangat lembab!) dengan maksud si dia berkenaan biodata yang diterima oleh saya semalam. Oh, rupanya saya belum lagi membalasnya. Haha, sampaikan dia sendiri bertanya mana saya punya biodata, what you give  you’ll get back bak kata orang ‘omputih’. Walhal ayat ini dulu tak pernah digunakan pun sengaja diterbitkan perumpamaan. Memang dulu saya seorang lelaki nerd yang memakai cermin mata dan sangat lembab. Rambut pun sikat tepi. (Maaflah, gambar-gambar lama tak tahu mana saya letak)

Mulai selepas itu, kami mula mengada-mengada bercakap ditelefon dimana menggunakan telefon rumah. Kadang-kadang bercakap pun tentang kerja sekolah yang sedia maklum sudah pun diketahui tengahari tadi di sekolah. Biasalah mula nak menggatal, pencapaian hormon sudah meningkat setahap. Hubungan boleh dikatakan semakin berjaya namun perkataan ‘suka’ masih belum terbit daripada mulut masing-masing. Kalau dulunya ‘suka’ bukan ‘cinta’, betul tak? Sekalipun belum pernah saya dengar daripada si dia dan sekalipun belum terbit dimulut saya sendiri. What you give you’ll get back terpaksa saya keluarkan perumpamaan ini sekali lagi.

Peristiwa pemadam terjadi lagi, namun kali ini tidak timbul rasa malu-malu antara kami seperti dulu dan ianya terjadi seperti peluang kepada kami ‘menyentuh’ antara satu sama lain. Saya kadang-kadang berasa hairan juga, dia ada pemadam dan saya pun ada pemadam namun pemadam 20 sen saya juga pilihannya. Faham-faham sahajalah. Peperiksaan bermula dan berakhir, ketika peperiksaan itu saya sukar mendampingi kerana kedudukan meja mengikut nama. Oleh kerana nama saya bermula dengan ‘T’, terpaksalah duduk dihujung dah terima sahajalah. Tibalah pada bulan Oktober, kali pertama saya ucapkan selamat harijadi dan buat harijadi pertamanya saya membeli sepit rambut Garfield disebabkan dia amat meminati kartun kucing pemalas itu. Saya masih ingat lagi, setiap kali saya mahu serahkan ‘something special’ kepadanya, mesti saya sorokkan dalam baju sekolah dan barulah diserahkan kepadanya apabila ‘line clear’.

Di awal 90-an dulu banyak cerita-cerita remaja seperti Awas, Cinta Metropolitan yang dilakonkan oleh kumpulan KRU, namun cerita Gemerlapan yang menampilkan pelakon seperti Lan A to Z, Bob KU2 (Kuman), Sham Visa banyak memberi memori manis buat saya, terutamanya lagu “Dulu dan Selamanya” daripada soundtrack Gemerlapan itu banyak meninggalkan kesan buat saya hingga ke hari ini. Sungguh! Ingin saya akui, kenangan saya dengan si dia banyak berkaitan dengan lagu, walaupun baru berumur 10 tahun namun memori manis ini masih kekal hingga ke hari ini bersama saya. Pernah saya bertanyakan pada si dia berkenaan cerita Gemerlapan itu dan soundtrack filem berkenaan dan katanya dia belum pernah menontonnya namun saya menggesanya untuk menontonnya.

Agak lama untuk memperdengarkan feedback daripadanya dan akhirnya si dia menonton serta menyukainya lagu dalam filem itu juga. Manisnya! Kami turut menyukai lagu ‘Viva La Vida’ nyanyian Ricky Martin semperna lagu tema World Cup 98 dimana France menjuarai piala dunia. Bagaimanapun saat-saat manis tidak berterusan dimana waktu persekolahan pada tahun 1998 itu berada dipenghujung dan ketika itu pelajar perempuan mulai diwajibkan memakai tudung. Sedihnya kerana tidak nampak lagi sepit rambut Garfield dikepalanya namun dia kelihatan manis bertudung dan tidak nampak jendul didahinya lagi.  Akhirnya kami terpaksa ‘berpisah’ kelas kerana dia naik satu kelas ke kelas nombor 2 manakala saya masih kekal dikelas nombor 3. Air muka masing-masing memang tawar disebabkan itu, maklumlah sudah hampir setahun duduk bersama-sama. Itulah yang perlu dihadapi oleh setiap orang apabila tiba waktu tumbesaran. Hakikatnya tahun depan saya sudah darjah 5 dan berumur 11 tahun.

Bersambung..

Saya kongsi bersama lagu pertama kami.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.