“yang pernah 4″

Pernah jatuh cinta? Pernah. Setiap kalinya pernah.

Pernahkah setiap kali kau lontarkan suara emas itu pada seseorang? Bukan nyanyian maksud aku tetapi suara hati dan ketika ini adalah berkenaan konteks hati. Setiap kali aku ghairah untuk meluahkan atau pernah meluahkannya aku bertanya, pernahkah sempurna untuk pertama kali atau kedua kali atau berkali – kalinya?“. Setiap percubaan itu adalah usaha sebenarnya, (tepuk tangan demi diri sendiri). Sekurang – kurangnya memahami konteks penolakan itu adalah perkara biasa ketika waktu – waktu meluahkan tetapi menjadi luarbiasa dan tidak terkawal perasaan apabila adanya penolakan itu di depan mata serta di alami sendiri oleh aku, secara tidak langsung hati seperti di ratah dan di patahkan. Luar biasakah? Kesian? Jangan,aku tidak minta. itulah silapnya meluahkan tentang hati aku pada manusia yang tidak sudi. Pada yang melakukan penolakan itu berbanggalah dengan keputusan anda. Setidaknya seseorang yang berani mengaku perasaannya telah pergi dalam hidup anda, terima kasih jugalah kerana mendengar.

Tabah ketika terjatuh kerana cinta ;

  1. Semestinya perkara romantik itu difikirkan setiap kalinya ingin mengambil perhatiannya. Tidak lupa juga pada ucapan ketika bersama si dia nanti.
  2. Surat – surat cinta yang bakal melayang ke tangan si dia nanti dipenakan dengan kemas dan tersusun mengikut situasi. Jika semalam sinis sedikit, mungkin hari ini lebih sinis dan esok bercampur sinis dan gembira. Itulah silapnya terlalu menyusun kata – kata, akhirnya jawab sendiri.
  3. Lagu – lagu cinta sebagai playlist utama dan terutamanya lagu yang didengari menyerupai kehidupan yang di alami ketika itu.
  4. Penolakan, terima kasih berkali – kali tolak.

Hidup aku bagaikan playlist rekaan sendiri menjadi kenyataan. Suatu ketika dulu, yang pernah dulu ingin mendalami madah dan erti sesebuah lagu serta puitisnya penulisan lirik lagu kini menjadi realiti. Ketika ini usia meningkat ke peringkat baru dan pengalaman cuba mematangkan, terima kasih pada bulan – bulan yang menjadikan setahun itu sempurna, jika tidak ada bulan – bulan itu kehidupan masih di takuk yang serupa tetapi erti kesedihan itu masih terpahat. Mungkin suatu hari, walaupun berulang – ulang memperdengarkan pada diri sendiri mengenai kata – kata itu dan tidak mengapalah sekurang – kurangnya cuba serta mencuba menjadi lebih baik kelak, amin.

Jika cinta yang pernah menghantar aku pada eti penolakkan itu menjelma lagi, akan aku fahami itu sudah aku lalui dulu dan kini erti penolakan itu sebenarnya ujian Tuhan mengenai ketabahan. Ya, ketabahan besar bagi pengorbanan usia yang lampau telah mengajar sesuatu di situ iaitu cinta itu keperluan dan secara langsung ianya hadir bagai magika yang lintas pada masa yang tidak bersesuaian.

Mood : Penolakkan itu adalah daya semulajadi kepada semua hidupan yang pernah berhubung dan mencuba.


“sebentar tadi”

PAGI
Hati yang tidak seberapa tenang cuba menghasuti mata supaya berjaga lagi walhal sudah tidak larat untuk terjaga namun inilah keadaan di mana sesuatu kesukaran itu dilalui dengan suasana, terutamanya di pagi yang sederhana dinginnya ini. Duduk keseorangan termenung memandang tumbuh – tumbuhan malar segar di luar, indah dan bernafas semula sebelum pagi indah ini diganggu dengan bunyi – bunyian yang diperlakukan oleh manusia – manusia lain yang bakal terjaga dan punyai tenaga setelah mereka bangun daripada tidur semalam.

SELAMAT TENGAH HARI
Masih terjaga? Ya, sudah dilenakan mata ini sebentar tadi namun terjaga juga akhirnya. Mungkin mimpi buruk? Tidak, mungkin hati yang tidak tenang untuk tidur membangunkan aku semula dari tempat tidur dan seterusnya melihat diri ini melangkah ke bilik air memerhati fizikal daripada kacamata cermin dan mata sendiri. “Apa nak jadi lagi?”. Pertanyaan untuk diri sendiri. Perut terasa lapar, selamat tengah hari.

PETANG
Melayari diari maya terasa sesuatu perlu dibualkan disini. Mungkin sesuatu tajuk? Baiklah sudah diisikan dan yang penting garapan yang kemas untuk sekali lagi dan penghayatan dalam meluahkan walaupun hanya perkataan untuk dibaca serta dibualkan oleh diri sendiri serta dilalui oleh manusia lain nanti. Perjalanan petang ini terganggu dengan terik matahari yang bakal berlabuhkan senja dan sekali lagi aku dalam kerugian dengan masa, sekali lagi.

MALAM
Saat ini adalah sesebuah pengisian dimana sesuatu pemerhatian bakal dilakukan dengan melihat kelibat – kelibat manusia pelbagai dalam konteks kemanusiaan. Konteks dimana keseluruhan manusia dikaji hanya dengan pandangan dan perbualan. Manusia – manusia malam begitu aktif seperti siangnya sebentar tadi dan ini berkemungkinan kehidupan yang dihadapi pada kesiangan begitu memenatkan untuk memenuhi segala urusan mahupun alasan semata – mata. Sebagai balasan, malam menjadi ruang untuk bernafas sebelum ianya sampai di hening malam nanti.

Sebentar tadi, terbitnya fajar memenuhi kehendak pagi serta memenuhi kehendak tengah hari sebagai peluang menikmati panas matahari seterusnya menyusul petang yang indah ketika matahari itu terbenam bagi menghormati kehadiran malam agar bulan pula menjalankan tugas. Sebentar tadi, matahari terbenam supaya bulan itu menjadi inspirasi kepada penyajak – penyajak cinta mengilhami keindahan dan menyusun susunan kata – kata agar dapat disempurnakan serta manusia lain mengabadikan keindahan malam tetapi ;

Sebentar tadi sebenarnya masa sudah dibazirkan.

“jelitawan cinta kosong – kosongkan 3″

Tiap kali aku menterjemahkan kemahuan hati dalam bentuk penulisan, yang pastinya cinta menjadi subjektif utama, maklumlah itulah yang paling ikhlas untuk dilontarkan dalam stanza cinta aku sendiri. Baiklah ketika ini aku cuba meraba – raba (terkebil – kebil) mata aku dengan penyataan ayat yang berhati – hati, mungkin kerana mengantuk namun hati ini sepi haruslah diluahkan di laman maya ini. Kalau seseorang lelaki sanggup mengatakan sesuatu yang terlalu klise, apa yang anda pasti tentang penyataan lelaki – lelaki tersebut? Ya, ini mungkin.

Perkara biasa yang disebut ;

  1. “i akan menang perlawanan ini demi you taw, suka tak?”
  2. “i rasa you adalah perempuan terbaik yang pernah i jumpa”
  3. “hidup i dulu susah tapi dengan adanya you disisi, i semakin berani melangkah”
  4. “i tak rasa you beban, sebab you sempurnakan hidup i”

Bagaimana? Stanza – stanza mat romeo? Itulah kenyataaan. Oh jelitawan yang punyai cinta dan masih mempunyai ruangan hati yang masih kosong, izinkanlah aku untuk mengisi ruangan itu dan percayalah aku tidak sempurna namun aku berusaha mengecapi bahagia seperti yang lain. Kosongkan hati kau agar dapat aku singgah jika itu ketetapan Tuhan dalam persinggahan aku dalam hayat ini.

Aku bukan mat romeo mahu pejantan tegar dengan ayat puitis, namun aku hanyalah manusia biasa yang biasa dipermainkan dan ditinggalkan bersendirian walaupun jatuh bangun hanya ada aku sahaja. Tidaklah aku terdesak namun hati ini meronta – ronta dengan ayat – ayat cinta yang puitis menanti kelibat sang cinta idaman hadir.

Mood : Percaya jelitawan berhati cinta masih berlegar – legar di luar sana.

“sebelum & pagi sunyi”

Sebelum detik – detik waktu mula berlari ke pagi,  sejenak aku mencuri peluang dan membisu karangi sesuatu sebagai hasil untuk pagi nanti apabila aku melihatnya kemudian. Mungkin bercelaru dalam menggambarkan kerana ianya betul – betul di luar radiasi pemikiran dari sejenak waktu yang aku ambil tadi. Bagaimanapun aku mencuba meluahkan dan berkongsi. Berkongsi dan teruskan di pagi sunyi ini, teruskanlah motif sebenarnya.

Pagi yang sunyi sesudah tengah malam, waktu mengilhami pelbagai kitaran baik hidupan manusia dan haiwan dibumi terbaik ini. Insan bertuah sedang nikmati tidurnya, manakala aku insan yang kesunyian di pagi sunyi mungkin di temani insan – insan lain seperti aku ikhtiar dalam pemikiran, tapi apa yang difikiran adalah sesuatu yang bersangkut – sangkut dalam penterjemahan baik di bibir mahupun penulisan. Oh pagi sunyi, terima kasih kerana hadir dalam diari hidup aku. Sekurang – kurangnya ideologi pemikiran tidaklah sesempit dalam ruang rindu. Kerana rindu sempitkan aku dengan kemahuan sendiri.

Sebelum merindu seseorang yang tidak pasti akan kewujudannya, telah aku coretkan gambarannya dalam pemikiran lalu dilontarkan dalam diari maya dan dikongsikan bersama. Mungkin orangnya aku sudah pasti namun sahaja dikiaskan dalam goresan pena maya ini kerana apa yang difikiran sehaluan dengan kiasan. Sebelum meletakkan seseorang dalam kelasnya yang tersendiri, aku cuba gambarkan apa yang ada difikiran aku ini sehaluan dengan hati. Oleh itu, coretan hati ke hati terpaksa dilupakan kerana punyai tanggapan tersendiri baik dari aku mahupun orang lain. Ironi dan logiknya.

Pagi sunyi terus berlari seiringan dengan detik – detik waktu, janganlah terlalu laju kerana aku masih terjaga bersama kau dan tunggulah kita berlari bersama andai aku sudah sedia di buaian mimpi nanti. Aku tidak bersandarkan pada harapan kau namun aku mencari erti ketika ini di pagi yang sunyi, ketika keadaan bersesuaian dan tiada rungsingan yang hanya ada kitaran masa dan bumi ini. Terasakan hati ini membuak – buak seperti maraknya api disebabkan terlalu banyak berfikir dan kemahuan itu  dan ini. Mungkin inilah tujuan Tuhan itu ciptakan pagi sunyi ini, bukan sekadar pada pemikiran namun pada kehidupan selepas. Itulah maksud sebelum. Sebelum sampainya kiamat apa yang digapai oleh aku sendiri ketika di pagi sunyi ini.

melihat hanyalah pada permukaan namun terlupa pada daratannya entah dimana..

“cinta mendam 2″

Memulakan bicara manis itu indah, sukar digambarkan saatnya aku jatuh cinta dulu. Itupun kerana aku bermulut manis menyusun madah sebelum dilemparkan kepada sang kekasih hati supaya seperti dinamit agar menggegar hatinya, tapi itu dulu. Mungkin kini lebih menjurus kepada penghidupan sendiri sebagai tukang karut di laman maya ini dan kadang – kadang air mata itu menemani, terima kasih air mata lelaki! Bukan kecewa, tapi ianya kemajuan bagi aku untuk melangkah setahap lagi.

Logiknya ketika berkata – kata cinta ;

  1. Jika semua orang menyimpan masa silam, biar aku selaminya bersama kau kerana aku menerima seadanya dan seterusnya biarkan aku bersama di diari masa hadapan kau nanti tika ajal menjemput aku pun tidak mengapa.
  2. Katakan ros merah ini pilihan kau namun aku terbeli ros putih ini. Mengapa? Ros putih ibarat sucinya hatimu dan benarkan aku coretkan sesuatu disitu agar hanya kita berdua ditemukan di syurga nanti. Bawalah ros putih ini juga.
  3. Kau bukan yang pertama dan bukan yang terakhir bagi aku. Yang pertama adalah ibu yang melahirkan aku, yang terakhir adalah Tuhan yang aku anuti tapi kau, kau tidak tergambar dengan kata – kata ataupun tulisan. Kerana hati ini terbeku sejak hadirmu dalam fikiran,jiwa dan raga hingga hadirnya ajalku nanti.

Kalau itulah permulaan tangga – tangga kebahagian, kalaulah seupama cerita dongengan, ianya terlalu mudah untuk menggapai cahaya cinta mendam itu. Baiklah aku daki semula tangga – tangga itu satu per satu.

Mood : Cinta bukan dongengan tapi kesabaran.

“koleksi kisah cinta terpendam 1″

Di diari maya ini aku coretkan rasa – rasa sukar digambarkan melalui bacaan dan penghayatan yang aku sendiri sahaja mengerti. Pujaanku, engkau dimana?

Rangka ;

  1. Set gigi yang cantik
  2. Kulit yang bersih
  3. Badan yang sedang – sedang
  4. Senyuman syurga

Itulah manusia (itulah aku) dengan pilihan hatinya. Bagaimanapun kita mencuba dalam kesibukkan serta kesesakkan manusia bagi mencari pilihan hati. Mahu yang terbaik mesti mahu bersabar dalam membuat pilihan.

Di sinilah tercipta hobi, menjaga lovelove (hamsterku), melawati stadium – stadium bagi menyaksikan perlawanan bolasepak Malaysia mahupun Selangor dan tentunya laman maya. How pathetic. Dengarlah keluhan aku pujaan.

Mood ; dengarlah pujaan.

“pengabdian dalam erti melayunya”

Jika lihat guruh, tutuplah pintu tutuplah tingkap sekiranya takut dengan pancarannya dan selamatkan diri jika keadaan kau diluar sana dengan apa cara sekalipun. Membayangkan ketakutkan dan cuba bayangkan. Ya, itulah perasaan takut. Namun apa yang membahagiakan engkau itu pastinya sesuatu yang engkau selesa untuk rutinkan dalam hidup kau ketika ini. Benar?

Aku bercakap soal hidup sebenarnya dan cara kau mengabdikan diri dalam setiap kejadian Tuhan dan sekitarnya. Kadangkala Dia membangkitkan segala perasaan yang telah dimuat turun dalam diri setiap manusia, dalam diri kita semua. Bukan takut aku maksudkan, bukan perasaan aku maksudkan dan bukan karutan yang aku maksudkan tetapi pengabdian. Cinta terhadap diri sendiri, minat sendiri, rasa sendiri dan dalam erti kata lain pengabdian kau dalam hidup untuk apa? Ya, untuk apa?

Pengabdian kepada impian sendiri. Benar?

Jika pengabdian yang engkau cari,
Dimana pengabdiannya?
Jika karutan yang engkau cari,
Dimana karutannya?

Sedikit tidak usai semangat kau,
Memahami konteks melayu jitu.
Berikrarlah kau melayu,
Bukan dalam sebutan dan terteranya melayu itu.

Buktikan. Bukan dalam kamus statik.
Disebabkan kerana kau melayu, keturunan sepenuhnya melayu, kau iktiraf diri sendiri melayu? Jangan. Jangan ciptakan propaganda dalam pencabulan mulut sendiri demi menyelamatkan diri kau. Lupakah kau pada bangsa dan bangsa lain? Lupakah kau pada pejuang? Setinggi mana dijulang – julang kau wahai raja serta wahai pembesar, rakyat yang kibar – kibarkan bendera berjalur itu, lihatlah peluh kau jatuh ke tanah menandakan kau masih manusia ketika dijulang dan lihatlah rakyat yang mengibarkan bendera berjalur itu menandakan mereka manusia seperti kau semua ketika memerah keringat dan berpeluh. Namun mereka hanya rakyat biasa tidak seperti kau megah dijulang.

Motif aku berkata begini? Nanti aku jelaskan.

Biar aku jelaskan, kau kata kau melayu. Benar, adat kau ikuti serta sistem kau utamakan namun dalam konteks melayu yang jitu, tidak kiralah dimana kau berpijak, di bumi asing sekalipun engkau tidak tenang dan tidak akan. Asal nasi daripada beras, asal beras daripada tuaian padi, asal tuaian dari tanaman padi dan itulah keturunannya. Seperti kita semua, sama. Jika mata masih memandang melayu, jika halwa telinga itu lagu melayu dan percakapan berbaur melayu ternyatalah engkau melayu serta berperangai jakun dalam semua perkara. Tahniah, engkau melayu. Tiada beza antara melayu lain dengan engkau raja – raja, engkau pembesar – pembesar andai nasi itu adalah makanan pertama engkau jamah.

Cukup sudah, sudah cukup maksud kemelayuan jitu bagi aku. Asalkan pengabdian engkau dalam konteks melayu itu jitu. Biarlah bukan nasi selera kau kini dan mungkin makanan barat tetapi engkau masih melayu kerana engkau masih jakun seperti melayu – melayu yang aku banggakan. Pengabdian bukan berserah pada aku namun pengertian dalam memahami erti siapa kau dan siapa aku dalam sesebuah kehidupan bernama melayu.

Jika ada sang rempit,
Mengabdikan bunyi – bunyian dalam kelajuan.
Jika ada sang tudung,
Mengabdikan keburukan tudung dalam berselindung.
Jika ada sang malam,
Mengabdikan hiburan dalam hidup bersosial.
Jika ada sang terkejut,
Mengabdikan dedahan pakaian dan perbuatan dalam dunia yang baru ditempuhi.

Itulah melayu dan serba sedikit aku kaitkan dalam erti lain, jakun itu melayu. Aku tidak jatuhkan bangsa aku sendiri namun itulah hakikatnya aku melihat dalam kacamata bangsa lain terhadap bangsa aku sendiri.

“penutup”

Andai jiwa masih samar – samar, masih ada kekotoran, masih ada keraguan dan masih ada segalanya lupakanlah untuk melangkah setapak lagi.

Sakit. Ya, sakit lagi bumi ini dengan usianya bersama pertambahan kelompok manusia membebaninya. Kasihan. Tidak perlulah kasihankan andai mentaliti di tahap yang sama lagi. Faham?

Apa yang engkau mahu? Engkau tidak tahu? Baik engkau ambil tahu, kerana itulah kemahuan sendiri dan sampai bila hendak dibiarkan? Jangan sampai terkilan ketika usia meningkat

Lupakanlah saat suka tertawa dan duka kecewa. Senyum dan tangis. Kenangan dah tertulis dan pesanan baru sudah sampai. Balaslah dengan sempurna kali ini. Maksudnya untuk pembuka tirai baru nanti.

Penutup tirai ini hampir punah ketika ingin dilabuhkan, mengapa? Oh, lupakanlah azam yang tidak tercapai dulu dan teruskan dengan azam yang sama. Buat – buat lupa azam baru dulu, bermakna tangguhkan sahaja sementara.

Hidup ini realiti, angan – angan itu fantasi dan bezakanlah. Tetapi teruskanlah berjalan dengan semangat baru dan sempurnakanlah diri sendiri sebagai insan. Buktikan, walau siapa pun engkau. Tiada beza kerana sentiasa sama ;

Kaya dan miskin,
Lelaki dan perempuan,
Rajin dan malas,
Cantik dan buruk,
Lihatlah masih sama seperti sebelumnya. Apa mahu dikhuatiri?

Tutuplah tirai ini dan basuh dengan sempurna agar ia putih semula untuk dicoretkan kembali serta dipasangkan ke tempat asalnya. Ulangilah untuk satu semester umur akan datang, Insya-ALLAH andai umur panjang. Teruskanlah untuk pembaharuan.Inilah penutup, tidak semestinya hidup yang lepas tidak sempurna. Perlu diperbaik pulih agar ia sempurna kelak.

Tutup, 2009.

“kembara seorang tetamu”

Pada awalnya si polan ini tidak tahu untuk menguruskan diri sendiri, asalkan si polan ini membuka mata yang pasti adalah kedengaran suatu tangisan. Tidak kiralah sekuat mana jeritan si polan ini, pasti disambut dengan tangisan dan senyuman bersyukur kerana si polan ini normal dan cukup sifat. Dibelai – belai dalam dakapan si ayah dalam laungan Maha Suci sebagai tanda si polan ini di islamkan, seterusnya ke dakapan orang yang menanggung bebanan selama sembilan bulan itu. Tangisan? Senyuman? Semuanya terungkap dalam satu perkataan kepadanya. Betapa ertinya si polan kepada keluarga itu.

Pantang mendengar teriakan, pasti diberikan sesuatu agar si polan ini sentiasa dijaga dan dibelai serta memenuhi kehendaknya. Aduhai si ibu sesudah engkau melahirkan, engkau memanjakan si polan ini tanpa jemu tanpa keluhan. Aduhai si ayah besar sungguh pengorbanan engkau, sekalipun tidak mampu dalam kehidupan, tidak sekalipun engkau gagalkan permintaan si ibu ketika dia sarat dan selepas dia melahirkan. Tanggungjawab engkau berdua lebih besar jika ingin dibandingkan dengan seorang pemimpin negara. Wahai si polan, itulah ayah itulah ibu! Bagaimanapun, engkau baru sahaja dilepaskan dalam sesuatu jasad berserta roh yang ditiupkan agar engkau bernafas dan menikmati hidup yang entah bila engkau dapat nikmati kelak.

Si polan, ketika ini engkau sudah mendaftar sebagai tetamu di muka bumi dan suatu hari nanti engkau adalah kembara di duniawi ini. Tidak kiralah bersendiri mahupun bersama sesiapa, yang pasti engkau sudah menjadi putaran kepada kehidupan, kehidupan ibu dan ayah sebelum engkau dilahirkan berserta dengan sijil tanggungjawab. Andai engkau mengenali erti tanggungjawab. Wahai si polan, ibu dan ayah engkau akan meninggalkan engkau sendirian kerana sahutan Ilahi sudah ke telinga mereka. Selamat tinggal si polan, usahalah demi hidup seperti mereka usaha dalam tumbesaran hidup engkau dulu. Si polan, engkau sudah dewasa dan berpangkat tanggungjawab serta selamat menjalankan tugas sebagai tetamu. Jangan lupa, solat itu lima waktu kerana engkau kini memikul tiang agama sekali.

Si polan anak manusia biasa,
Si polan tangisaan itu biasa,
Si polan bercakap dalam bahasanya,
Si polan sudah di dunia,
Selamat datang sebagai manusia.

Si polan anak dilahirkan,
Dalam persekitaran beragama,
Si polan anak diharapkan,
Diluntur dengan sempurna,
Si polan anak diidamkan,
Menyambung perjalanan sebagai kembara,
Si polan anak dipertanggungjawabkan,
Sebagai manusia yang tinggi akhlaknya,
Si polan anak dididikan,
Dengan ilmu bangsa dan agama,

Si polan engkau kini sempurna sebagai tetamu tuhan.

“masa itu sentiasa ralat dan manusia itu tidak melihat”

Melihat jam di telefon mudah alih, sudah masuk ke jam 2200 bila aku melihat semula sudah 2259! Telah aku katakan tadi, masa itu ralat. Cubalah berhenti sekejap, itupun kalau bateri habis tapi masih ada lagi yang bergerak. Tidak! Aku mahukannya berhenti sekejap, bagaimanapun jika aku mati nanti, ia tetap bergerak menyusul ke hari kiamat.

Tiada dalam hadis mahupun Al – Quran mengenai detik – detik masa, tik – tok bunyi masa cuma di perihalkan tentang dari terbit fajar ke senja dari senja ke subuh dan seterusnya. Lebih mudah melihat masa ketika waktu – waktu solat di azankan.

Apalah erti hidup? Apalah erti hidup seandainya matahari sudah lupa dari mana seharusnya ianya muncul nanti. Janganlah engkau manusia – manusia jakun bersesak – sesak mencari jalan pulang ketika itu. Ketika engkau alpa melihat masa. Biarlah masa engkau lihat itu ralat, sebenarnya masa itu telah memberitahu dan membantu engkau manusia – manusia alpa.

Aku manusia,
Juga alpa,
Juga lupa,
Juga leka,
Juga sengsara,
Juga manusia seperti engkau manusia – manusia yang tidak melihat. Melihat masa – masa yang ralat itu. Satu masa telah aku bazirkan dengan menasihatkan diri sendiri dan engkau manusia – manusia yang sibuk mencari kesempurnaan.

Next Page »